KUALA LUMPUR – Polis berjaya mematahkan operasi makmal dadah ketamin pertama di Malaysia yang dipercayai didalangi Geng 36 selepas menyerbu sebuah kilang kitar semula di Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5 pagi itu, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman turut merampas sejumlah 269 kilogram dadah jenis ketamin yang dianggarkan berjumlah RM16 juta.
Menurut sumber, pihak polis menahan sebanyak 23 individu berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun termasuk empat lelaki warga tempatan yang dipercayai ahli kumpulan Geng 36.
Kata sumber, 19 suspek yang lain adalah lelaki warga India yang didatangkan khas ke negara ini untuk memproses dadah dan ada di antara mereka berperanan sebagai ‘ahli kimia.’
“Kilang itu dipercayai mula beroperasi sejak awal tahun ini dan bahan-bahan kimia yang diperlukan untuk memproses dadah tersebut turut dibawa masuk dari India.
“Dadah yang dirampas dipercayai untuk dipasarkan ke seluruh negara. Difahamkan, sindiket ini mula memproses dadah jenis ketamin ekoran harga dadah yang melambung tinggi selain sukar didapati di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut mengucapkan syabas atas kejayaan Sting menerusi laman Twitter rasmi miliknya.
“Syabas STING @PDRMsia tangkap 23 orang termasuk ‘Chemist’ dari India dan bongkar makmal proses ketamin di Johor Bahru. Rampas 269 kilogram ketamin. #GoPDRMGo,” ujarnya. – Utusan
No comments: