KUALA LUMPUR -Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan bas ekspres yang mengorbankan 14 nyawa di KM137.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berdekatan kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi tadi.
"Innalillah. Sedih dengan berita tragedi bas di Johor yang ragut 14 nyawa. Takziah kepada keluarga mangsa, saya doakan yang cedera kembali sembuh Insya-Allah," katanya menerusi catatan di Twitternya, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merakamkan ucapan takziah menerusi laman Twitternya.
"Salam takziah kepada keluarga mangsa tragedi bas di Johor. Semoga cepat sembuh kepada mangsa yang cedera," katanya.
Ahmad Zahid turut menasihati orang ramai agar berhati-hati memandu dan selamat bercuti bersempena sambutan Krismas esok.
Dalam kejadian kira-kira 3.25 pagi itu, bas ekspres Alisan Golden Coach terjunam ke dalam curam sedalam 10 meter sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayor, berdekatan dengan kawasan rehat dan rawat Pagoh.
Selain 14 maut, sebanyak 16 lagi cedera termasuk enam warganegara Singapura dan dua warganegara Myanmar dalam kemalangan tersebut. - BERNAMA
No comments: