'/>

Bekas Ahli Parlimen dijatuhi denda RM500 kerana terlibat aktiviti sabung ayam

KOTA SAMARAHAN: Bekas Ahli Parlimen Julau, Datuk Seri Sng Chee Hua, hari ini dijatuhi denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan, di sini kerana terlibat dalam aktiviti sabung ayam.

Sng, 70 tahun, yang juga merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan menerusi aktiviti sabung ayam pada 5 Februari lalu di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Mencegah Penganiayaan Terhadap Haiwan 1973.

Turut didakwa dan mengaku bersalah ialah 24 individu lain yang berusia 20 hingga 63 tahun.

Pengakuan bersalah tertuduh dicatatkan di hadapan Majistret Marutin Pagan selepas pertuduhan dibaca oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azhari Yusof. Sng diwakili peguamnya, Arthur Lee.

Sebelum itu dalam pendakwaannya, Nor Azhari menegaskan kesemua tertuduh perlu menerima hukuman setimpal demi menjaga kepentingan awam dan mendidik masyarakat agar tidak terbabit dalam aktiviti sabung ayam.

Pada 5 Februari lalu, sepasukan anggota siasatan jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak menyerbu sebuah gudang yang diubah suai sebagai gelanggang sabung ayam di Taman Belian, di sini dan mencekup 320 individu.

Turut dirampas 21 ekor ayam sabung yang masih hidup, tiga bangkai ayam, sejumlah cip judi, taji dan wang tunai.

Foto by – Sarawakvoice

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY