'/>

PEMERIKSAAN BEDAH SIASAT KE ATAS LELAKI DEWASA WARGANEGARA KOREA UTARA

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

PEMERIKSAAN BEDAH SIASAT KE ATAS LELAKI DEWASA WARGANEGARA KOREA UTARA

Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur telah menerima satu mayat lelaki warnanegara Korea Utara pada 15 Februari 2017, pukul 10:00 pagi daripada Pegawai Penyiasat Polis untuk menjalankan pemeriksaan bedah siasat.

Pemeriksaan bedah siasat telah dijalankan pada pukul 12:45 petang, 15 Februari 2017 dan pemeriksaan telah selesai pada pukul 6:45 petang pada hari yang sama. Pemeriksaan ini telah dijalankan mengikut ketetapan dalam Seksyen 331 Kanun Prosedur Jenayah dan telah turut dihadiri oleh Pegawai Penyiasat Polis.

Pasukan bedah siasat ini adalah dianggotai oleh Pakar Perunding Kanan Forensik, Pakar Radiologi Forensik dan Pakar Odontologi Forensik, yang sememangnya merupakan pakar yang bertauliah dan berpengalaman luas.

Mayat ini telah menjalani pemeriksaan bedah siasat yang lengkap termasuklah ujian Computer Tomography, bedah siasat luaran dan dalaman, dan pemeriksaan forensik pergigian.

Pengendalian mayat telah dikendalikan dengan penuh hormat dan spesimen-spesimen medikolegal yang telah diambil juga telah dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang untuk menjaga rantaian bukti.

Spesimen medikolegal tersebut telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Polis sejurus selepas pemeriksaan bedah siasat untuk dihantar ke makmal yang telah diakreditasi untuk menjalankan analisa. Analisa-analisa ini adalah bertujuan untuk mengesahkan identiti si mati dan juga punca kematian, di mana keputusan makmal masih dalam proses. Tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat si mati.

Terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

21 Februari 2017

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY