'/>

Siri lawatan kedua Sehati Sejiwa dan Bakti Siswa

MELUAN - Siri lawatan kedua Sehati Sejiwa dan Bakti Siswa Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan dianggap berjaya dan telah memenuhi hasrat penduduk di kawasan pedalaman khususnya dalam menyediakan kelengkapan pembangunan tempat tinggal.
Dr. Puad Zarkashi 
Menurut Ketua Pengarah JASA Dato' Dr. Puad Zarkashi berkata lawatan kali ini merupakan kesinambungan lawatan yang pertama dahulu pada November 2015 dengan menyampaikan peruntukan bagi membeli barangan dan peralatan membina rumah panjang.
"Lawatan kali ini dianggap berjaya dan memperlihatkan kesungguhan kerajaan menerusi agensi seperti JASA yang berjaya melaksanakan janji-janji kerajaan kepada rakyat di pedalaman.
"Malah, lawatan kali ini bertujuan memberitahu rakyat bahawa kerajaan sangat prihatin kepada keperluan rakyat di pedalaman seperti mana yang pernah diketengahkan bekas Ketua Mneteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu merapatkan jurang perbezaa. bandar dan luar bandar.
"Bagaimanapun dasar ini telah diteruskan Ketua Mneteri Sarawak Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg sejak mengambilalih jawatan ketua menteri pada 13 Februari yang lepas," katanya ketika ditemu bual sebaik sahaja selesai menyempurnakan perasmian Program Sehati Sejiwa di Rh. Tinting baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, seramai 20 mahasiswa Karisma Universiti Sains Malaysia (USM) turut dibawa bagi menyelami dan merasai budaya kaum Iban dan kehidupan di rumah panjang.
"Kami berasa teruja dan tidak sabar untuk mengikuti rombongan JASA ke kawasan pedalaman ini sebaik mengetahui bahawa kami dipelawa menyertai ekspedisi ini.
"Pengalaman berharga ini yang semestinya tidak boleh dijual beli pastinya akan kami ingat sampai bila-bila seperti menaiki kapal terbang, menaiki perahu, bermalam di rumah panjang, menari tarian ngajat dan merasai kehidupan kaum Iban.
"Selepas ini jika diberi peluang kedua untuk mengikuti program sebegini, kami Karisma USM tidak akan menolak kerana tertarik dengan kebudayaan dan cara hidup orang Sarawak," jelas Presiden Karisma USM Ahmad Shafiq bin Mohd Nasir.
Lawatan Sehati Sejiwa dan Bakti Siswa ke DUN Meluan/Parlimen P209 Julau ini bermula pada 19 hingga 21 Mac 2017 dan turut disertai pegawai dan staf JASA Sarawak dan JASA Ibu Pejabat serta jabatan dan agensi kerajaan lain seperti Ibu Pejabat Polis Daerah Julau dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY