'/>

ADUN DAP Sarawak Tagih Simpati Kerajaan BN Sarawak

KUCHING - Perjumpaan tertutup enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) terhadap Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-18 adalah bertujuan untuk menagih simpati kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mendapatkan peruntukan bagi membangunkan kawasan mereka.

Perkara ini telah didedahkan Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom di dalam BHOnline dan berkata, wakil rakyat terbabit memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri yang dipimpin BN.

Perkembangan ini memperlihatkan pembangkang, khususnya DAP semakin terdesak dalam usaha mengotakan janji ditabur mereka kepada rakyat dalam pilihan raya sebelum ini.

"Kita dimaklumkan ada enam wakil rakyat DAP bertemu Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, baru-baru ini untuk mendapatkan peruntukan bagi Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Ia jelas membuktikan politik diterajui mereka selama kni hanya 'omong kosong' tanpa memiliki keupayaan kewangan yang utuh bagi melaksanakan agenda pembangunan untuk kawasan dan rakyat," katanya selepas menghadiri majlis penyerahan cek MRP bagi kawasan DUN Kemena, di sini pagi tadi.

"Mungkin rakyat, khususnya pengundi tidak mengetahuinya tetapi inilah yang sebenarnya berlaku.

"Tidak mungkin pembangkang mampu menjayakan pembangunan dirancangkan tanpa bantuan kerajaan negeri dikuasai BN.

"Namun, sudah tentu Ketua Menteri atas kapasitinya sebagai Pengerusi BN Sarawak perlu meneliti terlebih dahulu permintaan pembangkang sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya," katanya.

Dalam perkara berkaitan, jelas memberikan gambaran bahawa DAP Pusat tidak menghiraukan DAP Sarawak dengan hanya membiarkan mereka mencari dana untuk membangunkan kawasan yang mereka wakili.

Malah, DAP yang terkenal dengan menganjurkan program dan majlis makan malam bagi mengutip derma lebih kepada mendapatkan dana untuk kegiatan politik mereka dan bukannya untuk membangunkan kawasan yang mereka wakili.

Diakui, kebanyakan kawasan yang diwakili DAP itu datangnya daripada kawasan bandar, tetapi ini tidak mencukupi kerana masih ada kekurangan yang perlu ditampung wakil rakyat dan tidak semestinya bergantung kepada tanggungjawab kerajaan tempatan.

DAP yang selama ini hanya pandai mengkritik kini terdesak dengan desakan rakyat yang mahukan kawasan mereka turut dibangunkan seperti mana kawasan yang ditadbir BN. 

Inilah yang menjadi rungutan rakyat di kawasan pembangkang, mereka lebih banyak bermain politik daripada menjaga kebajikan rakyat dan banyak menunding jari kepada kerajaan BN jika berlaku sesuatu kejadian biarpun ia di bawah tanggungjawab wakil rakyat tersebut.

 sumber:klxpress Sarawak

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY