Siapa Chong Chieng Jen dan King Wei nafi hak Islam di Sarawak?
Apakah agaknya yang dikhuatiri Chong Chieng Jen jika guru agama dari Semenanjung dan Sabah diimport ke Sarawak?
Takut mereka menyebar Islam, atau melaksanakan doktrin UMNO? Atau menjayakan agenda PAS, mahupun Amanah?
Atau paling tidak mempromosikan RUU355 atau berkempen melaksanakan hukum hudud.
Yang jelas, Chieng Jen dan rakan-rakan begitu gerun akan imej Islam. Takut akan kehadiran guru-guru agama ini, yang kononnya memiliki agenda lain.
Atau sebenarnya ia sebagai “political stunt” mereka. Ya, memainkan sentimen agama adalah isu yang paling mudah menjolok simpati. Apatah lagi atas prinsip umat Islam adalah minoriti.
Chieng Jen dan Wong King Wei harus sedar, kerana agama, macam-macam boleh jadi. Biarpun DUN adalah institusi yang kebal, tidak bermakna mereka halal melakukan, malah menutur sesuka hati dalam menidakkan hak orang Islam.
Perkara seperti guru agama, bukanlah kepakaran dan hak mereka untuk menghakiminya.
Malah tindakan King Wei mempersoalkan pengajaran agama Islam di peringkat menengah diteruskan walhal tidak dipraktiskan, adalah satu pencabulan yang menghina seluruh umat Islam di negara ini.
Saya ulangi, apa hak mereka untuk membangkitkan isu ini? Jika mereka mengatakan ia suara rakyat, siapakah rakyat yang dimaksudkan? Atau mereka mengulangi sikap dan pemikiran komunis.
Hai DAP, umat Islam di Sarawak sudah cukup bertoleransi dalam banyak perkara. Malah kita tidak marak pun apabila kerajaan yang dipimpin pimpinan Islam tidak menyokong RUU355, sebaliknya menghayati justifikasi yang diberikan.
Berkaitan pengimportan golongan guru agama ini, seharusnya mereka menghormati akan kekurangan yang dialami.
Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Sarawak yang juga Adun Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya menegaskan bahawa kekurangan ini tidak seharusnya berlaku, kerana negeri ini telah lama merdeka.
Bukan isu banyak sekolah agama, tetapi mereka yang layak melatih begitu berkurangan, kerana untuk melatih seseorang murid Islam, banyak kriteria perlu dipenuhi. Dan yang paling penting bebas daripada elemen ekstreme.
Begitu jugalah agama lain seperti Buddha, Hindu malah Kristian; begitu banyak pakar agama dari luar dibawa masuk untuk mendidik penganut. Adakah ini satu kesalahan juga?
Suka saya memetik Dr Juanda ketika perbahasannya yang lalu; “Tidak ada beza (dalam pengajaran agama Islam. Yang menjadi masalah adalah individu, bukannya silibus dan asal-usul kelahiran pengajarnya.
“Saya lahir daripada sistem yang sama dan menuntut agama Islam agak lama di Semenanjung Malaysia, tetapi saya kekal berfikiran seperti anak Sarawak yang lain.
“Agama Islam itu sama sahaja di mana-mana, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tegasnya:”Pembangkang tidak akan sokong anak-anak Islam mendapat pendidikan yang secukupnya.
“Tidak usahlah kita terlalu taksub dan terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang hanya mahu mengganggu keharmonian amalan beragama di Sarawak.
“Tidak ada masalah untuk sesiapa sahaja mengajar subjek ini asalkan berkelayakan.
Nasihat saya cukup mudah. Politik adalah politik. Ada sempadan dalam politik. Sentimen agama bukanlah perkara yang perkara yang perlu dipolitik, terutama dalam konteks Sarawak.
DAP harus membatasi diri dalam isu ini kerana mereka bukannya pakar.
Kerana jika terus membakar api, ia akan marak. Dan yang ruginya adalah semua pihak. Sila fahami dan pelajari apa yang berlaku dalam tragedi 13 Mei 1969! sumber:Sarawakvoice
No comments: