'/>

Pemuda BN Sarawak mengecam Kenyataan Menteri Pelancongan DS Nazri Abdul Aziz

Kenyataan Media Pengerusi Pemuda BN Sarawak & Ketua Pemuda PBB Sarawak

1. Pemuda BN Sarawak mengecam kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah, yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN).

2. Tindakan melabelkan Menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah satu penghinaan terhadap Datuk Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

3. Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media, kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen.

4. Jika ada isu-isu yg hendak dijelaskan, maka ianya harus dilakukan secara baik dan berhemah dan bukannya dengan memperlekehkan sesama pemimpin dalam parti komponen yang sama.

5. Pemuda BN Sarawak berpendirian bahawa semangat saling menghormati dan permuafakatan antara pemimpin dalam parti komponen harus diutamakan dengan sebarang perbezaan pendapat mestilah diselesaikan dalam saluran parti yang harmoni.

6. Kita boleh berbincang, berbeza pendapat dan seterusnya mengambil kesempatan itu untuk bermuafakat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik kepada semua perkara.

7. Tindakan melabelkan sesama kita sebagai 'samseng' juga tidak wajar sama sekali kerana ia bukan sahaja satu penghinaan kepada individu terbabit malah boleh menjejaskan imej parti, apa lagi samseng bukanlah budaya dalam BN, apatah lagi dalam PBB.

8. Dalam berdepan apa juga isu Pemuda BN Sarawak berpendirian, yang paling utama ialah semangat dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga BN, parti yang telah diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, perlu dijunjung dan dipertahankan.

Dato' Sri Fadillah Yusof
Pengerusi Pemuda BN Sarawak
Merangkap Ketua Pemuda PBB
(12 Jun 2017)

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY