'/>

Pemandu jentera berat ditembak

Seorang pemandu jentera berat nyaris maut selepas ditembak dua kali di perut berhampiran rumahnya di Kampung Kuala Menjing, Hulu Terengganu, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa yang baru pulang dimaklumkan oleh abangnya tentang kehadiran dua lelaki yang mencarinya, sedang menunggu di luar rumah.

Mangsa berusia 28 tahun yang merasa curiga keluar dengan memegang parang dan terus meluru ke arah suspek lalu menetak bonet dan cermin kereta yang dinaiki mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, salah seorang suspek kemudian melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta hingga menyebabkan mangsa rebah sebelum mereka melarikan diri.

"Mangsa yang masih bujang itu dikejarkan ke Hospital Kuala Berang oleh keluarganya sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pembedahan mengeluarkan peluru hari ini.

"Keadaan mangsa stabil dan kini sudah boleh bercakap. Mangsa mengatakan tidak mengenali suspek, bagaimanapun kita akan terus menyoal mangsa untuk maklumat terperinci," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Manoharan, polis masih menyiasat punca kejadian dan akan mengesan beberapa lagi suspek yang mungkin terlibat dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu berkait rapat dengan urusan jual beli dadah.

"Siasatan juga mendapati nombor pendaftaran kereta Perodua Kelisa yang dinaiki oleh suspek berusia antara 20 ke 30 tahun juga palsu.

"Sehubungan itu, polis telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat secara mendalam kejadian ini," katanya yang memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Ahmad Yusuf, 56, berkata, kejadian tembakan itu merupakan pertama kali berlaku di kawasan tersebut sejak lebih 35 tahun tinggal di sana.

"Kira-kira pukul 11 malam, saya lihat banyak kereta polis. Saya terkejut sebaik sahaja dimaklumkan berlaku kejadian tembak di rumah mangsa," katanya.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY