KUALA LUMPUR - Pendapatan isi rumah di Malaysia dijangka meningkat terutamanya dengan pengenalan gaji minimum dan skim gaji baharu.
Pakar Ekonomi Kanan RHB Research Shafizal Shafaai berkata syarat gaji minimum bagi sektor swasta, yang berkuat kuasa 1 Januari, 2013, diunjur meningkatkan pendapatan isi rumah.
Beliau berkata Skim Gaji Perkhidmatan Awam yang diumumkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2102 akan juga menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah dengan kenaikan tahunan lebih tinggi sebanyak RM80 hingga RM320, selain semakan gaji sebanyak tujuh peratus hingga 13 peratus.
"Begitu juga dengan gaji angkatan tentera yang distandardkan. Ini akan membantu mengimbangi kesan inflasi yang lebih tinggi disebabkan rationalisasi subsidi," katanya kepada Bernama.
Kajian Pendapatan Isi rumah terkini yang dijalankan Jabatan Perangkaan menunjukkan kenaikan 7.2 peratus dalam purata pendapatan isi rumah pada 2012 berbanding kajian sebelumnya pada 2009.
Kajian Gaji 2013 oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) juga menunjukkan gaji bagi eksekutif meningkat 6.3 peratus manakala gaji bukan eksekutif naik 6.7 peratus.
Shafizal berkata semasa kebanyakan pekerja dalam sektor swasta mendapat kenaikan tahunan yang sewajarnya, dengan lebih lima peratus setahun, malah ada yang memperoleh kenaikan kurang tiga peratus.
"Terdapat pekerja tidak mendapat kenaikan langsung disebabkan tidak mencapai petunjuk prestasi utama mereka. Ada juga yang kenaikan tahunan tidak diperoleh pekerja memandangkan ada di antara mereka tidak mempunyai kenaikan disebabkan oleh jenis industri pekerjaan mereka," katanya.
Golongan ini yang berkemungkinan terdedah kepada persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan mereka perlu mengawal perbelanjaan mereka bagi menangani kos sara hidup yang lebih tinggi.
Beliau berkata pekerja dengan pendapatan yang lebih rendah akan berdepan dengan kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup tetapi juga bergantung kepada corak perbelanjaan, kawasan kediaman dan berapa orang yang bekerja dalam sebuah isi rumah.
"Ia juga merupakan satu keadaan mengimbangi yang sukar bagi kerajaan memandangkan ia perlu melihat kepada pengurangan defisit fiskal dan menambah baik kedudukan kewangan," katanya.
Bagi Setiausaha Agung Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia, Datuk Dr Mohd Noor Ali Akbar, kenaikan dalam gaji akan tentunya menaikkan lagi pendapatan boleh guna isi rumah.
Dan ini akan meningkatkan perbelanjaan penggunaan terutamanya jika disokong oleh keadaan pekerjaan yang stabil dalam sektor-sektor berorientasikan domestik.
"Peningkatan dalam kenaikan gaji diharapkan diikuti dengan langkah kerajaan untuk mengawal harga barangan keperluan pengguna, barangan asas dan utiliti. Semuanya mempengaruhi pendapatan boleh guna pengguna.
"Ia juga berkait dengan usaha kerajaan dalam mengagihkan pendapatan sama rata kepada semua peringkat pendapatan - pendapatan sederhana berbanding pendapatan tinggi," katanya.
Bagaimanapun Pakar Ekonomi Hong Leong Investment Bank Sia Ket Ee berkata sebarang kenaikan gaji perlu dijustifikasi dengan peningkatan dalam produktiviti.
Sia berkata dengan mengandaikan kenaikan dalam produktiviti pekerja kekal, kenaikan gaji sebanyak 6.2 peratus hingga 6.7 peratus adalah seiring dengan kenaikan sederhana dalam inflasi sepanjang 2014. - Bernama
No comments: