'/>

Kes Bill Kayong Selesai Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

Kes Bill Kayong Selesai Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

*KENYATAAN MEDIA*
*PESURUHJAYA POLIS SARAWAK*

Pada 21/6/16 jam lebih kurang 8.15 pagi, mangsa Bill Anak Kayong telah ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat E-Mart, Tudan, Miri. Hasil post mortem dan siasatan forensik ke atas kereta mangsa, didapati bahawa saspek telah menggunakan senapang patah untuk menembak mangsa. Tidak ada saksi yang menyaksikan kejadian tampil ke hadapan untuk membantu dalam siasatan. Tidak ada juga CCTV di kawasan tempat kejadian dan persekitaran yang telah merekodkan kejadian ini. Dari mulanya, pihak polis telah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan kes ini.

Pada hari berikutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bin Abu Bakar telah mengumumkan penubuhan satu Task Force diketuai oleh KJSJ Sarawak, SAC Dev Kumar untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kes ini. Task Force ini dipantau oleh PJP Sarawak, Datuk Mazlan Bin Mansor. Beberapa pasukan JSJ Bukit Aman yang mempunyai kepakaran tertentu telah datang ke Miri untuk membantu Task Force.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Task Force, pada 30/6/16 dan 1/7/16, enam saspek telah ditangkap bersabit kes ini. Mereka terdiri daripada 5 lelaki dan 1 wanita, berumur antara 22 dan 41 tahun.

Hasil siasatan yang dijalankan, pada 5/7/16 jam 5.00 petang, salah seorang saspek telah membawa pasukan siasatan ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama, Miri. Saspek telah menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai telah digunakan untuk menembak Bill Anak Kayong. Senapang patah tersebut dan beberapa butir peluru senapang patah termasuk satu kelongsong yang telah digunakan telah dirampas dari tempat yang ditunjukkan oleh saspek.

Dengan tangkapan saspek-saspek ini dan rampasan senapang patah, kita yakin kes pembunuhan Bill Anak Kayong berjaya diselesaikan. Task Force masih lagi mengesan beberapa saspek yang masih bebas. Butir-butir lanjut tentang saspek-saspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini. Usaha-usaha masih lagi berjalan untuk mengemaskini siasatan dengan tujuan menuduh saspek-saspek yang terlibat di Mahkamah.

*DATUK MAZLAN BIN MANSOR*
*PESURUHJAYA POLIS SARAWAK*

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY