'/>

Mesyuarat teknikal akan diadakan bincang berkaitan penurun kuasa

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat teknikal bagi membincangkan beberapa perkara tadbir urus berkaitan penurunan kuasa.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam.

“Memorandum tentang pendirian kerajaan negeri telah disampaikan kepada Perdana Menteri dan pertemuan ini telah mengambil maklum tentang beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal lebih lanjut antara kedua-dua pihak.

“Dipersetujui Peguam Negara mewakili kerajaan persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak mewakili kerajaan negeri, akan membincangkan perkara-perkara tersebut dengan lebih lanjut dalam satu mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam waktu terdekat,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan akhbar bersama itu dikeluarkan selepas satu perbincangan diadakan antara Adenan dan Najib di Putrajaya pagi semalam.

Perbincangan itu membincangkan tentang penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Ia bertujuan memperkukuh tadbir urus Kerajaan Negeri Sarawak dalam mendukung Semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai salah sebuah negeri yang aman serta makmur dalam Malaysia.

Hasil pertemuan itu menurut kedua-dua pemimpin tersebut juga membuktikan jalinan erat dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan sesebuah negeri .

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY