BINTANGOR: Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop dipergiat terutama menyentuh mengenai aspek pendidikan dan pembangunan ekonomi wanita.
Menurut isteri Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri dan ADUN Semop Norasyikin Ibrahim, kedua-dua aspek berkenaan sangat penting selain menjadi keutamaan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu (Abdullah Saidol) sejak penggal pertama lagi.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja meningkatkan penyertaan rakyat dalam aspek pembangunan tetapi turut membantu melonjakkan taraf ekonomi dan sosial mereka menerusi pendidikan.
“Sejak mula menjadi wakil rakyat lagi, ADUN Semop (Abdullah) amat menitikberatkan keutamaan aspek pendidikan dan pembangunan ekonomi wanita. Malah, usaha itu tidak akan terhenti sebaliknya terus dipergiatkan lagi.
“Pendidikan anak bangsa juga terus menjadi fokus bagi memastikan lebih ramai pelajar di kawasan beliau berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Beliau percaya dengan adanya ilmu, ia dapat menjamin pekerjaan yang baik, kehidupan lebih selesa dan keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri 2016 anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ADUN Semop dengan kerjasama Skuad Sayang Semop di Pejabat Daerah Lama di sini, semalam.
No comments: