'/>

Seramai 57,002 penerima bantuan bulanan JKMNS dengan jumlah perbelanjaan RM158.7 juta-Fatimah #DUN2016

KUCHING: Pemohon yang tidak layak menerima bantuan bulanan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) bakal diberi pertimbangkan untuk menerima bantuan tersebut bermula tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, ini kerana kerajaan negeri bersetuju untuk menerima pakai paras garis kemiskinan (PGK) terkini iaitu RM990 berbanding RM830 sebelum ini.

"Dengan menggunapakai PGK baharu itu, pemohon yang sebelumnya tidak layak, boleh diberi pertimbangan untuk mendapat bantuan kebajikan bulanan mulai tahun 2017," katanya menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya bertemakan Pemantapan Kesejahteraan Komuniti pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi perhatian dan komitmen dalam membantu golongan yang memerlukan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

"Setakat 31 Oktober 2016, seramai 57,002 orang telah menerima bantuan bulanan kebajikan daripada JKMNS dengan jumlah perbelanjaan RM158.7 juta," ujarnya.

Fatimah menjelaskan, JKMNS pada masa sama telah dan akan terus berusaha untuk memperkasakan kesejahteraan golongan tersebut dengan melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Mikro Kebajikan (UMK).

"Sehingga kini seramai 149 orang penerima telah berjaya dikeluarkan daripada PGK dengan pendapatan melebihi RM1,000 sebulan," jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan turut memberi bantuan ekonomi kepada ketua isi rumah (KIR) berpendapatan rendah melalui program 1AZAM.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), seramai 39,670 KIR miskin dan miskin tegar telah dibantu.

"Daripada jumlah ini seramai 9,517 (24 peratus) KIR telah berjaya meningkatkan pendapatan dan terkeluar daripada senarai golongan miskin dan miskin tegar," kata Fatimah.
Sarawakiana

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY