Perjalanan dalam kitaran hidup sebagai hambaNya yang melata di bumi. Siapa pun kita, bila sampai detiknya ia tidak dibezakan oleh pangkat, tanggungjawab, mahupun siapa kita. Aku harap tahun-tahun mendatang laman "Facebook" ini akan mengingatkan aku tentang tarikh 11 Januari 2017.
Mengingatkan aku tentang seorang pemimpin Borneo yang berjiwa patriotik. Memahami dengan penuh jiwa raganya tentang kepelbagaian kaum di negeri bertuah ini. Perjuangannya adalah perjuangan rakyat sarawak dan jika perjuangan kau berbeza dengannya, mungkin kita dibezakan prinsip dan pemahaman tentang warna-warni kehidupan.
Generasi beliau adalah generasi hebat yang hidup di antara percaturan politik getir Borneo dalam menempuh keharmonian dalam kepelbagaian kaum di Sarawak. Ruang masa dalam rekonstraksi sejarah Borneo yang berbeza interpretasi kita. Siapa pun kita, jangan sampai perbezaan interpretasi menjauhkan kita.
Sebagai anak jati Borneo, aku bangga memiliki pemimpin seperti arwah. Satu hari nanti juga aku akan berbangga bercerita kepada generasi seterusnya tentang seorang pemimpin negeri yang hebat. Cerita tentang cara beliau memimpin, cerita tentang latarbelakang akademiknya, cerita tentang keramahannya, cerita tentang perjuangannya, cerita tentang rakyat Borneo yang pelbagai kaum harus meneruskan legasi pemikirannya.
Al-Fatihah, Tok Nan tetap akan menjadi kenangan anak-anak Sarawak.
By junaidi mohamed
No comments: