Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.
Menurut Perdana Menteri , yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN, persiapan rapi telah dan sedang dibuat oleh UMNO serta parti-parti komponen BN dan beliau yakin gabungan jentera yang kuat itu mampu mempertahankan Putrajaya.
"Pilihan raya boleh diadakan pada tahun ini atau tahun depan. Tahun ini boleh menang, tahun depan pun boleh menang. Kita sudah asah keris," katanya ketika melancarkan Jentera Jalinan Rakyat Plus (JR Plus) di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
Bagaimanapun Najib mengingatkan pemimpin dan jentera BN agar tidak terlalu memikirkan bila atau siapa yang bakal terpilih menjadi calon pada pilihan raya umum itu nanti, sebaliknya memberi tumpuan kepada tugas masing-masing untuk menawan hati pengundi.
Beliau turut mengingatkan jentera parti supaya tidak terlalu yakin dan berlagak walaupun BN mempunyai kekuatan sendiri berbanding pembangkang, termasuk memenangi pilihan raya Negeri Sarawak dengan majoriti lebih besar serta menang tiga pilihan raya kecil iaitu di Kuala Kangsar, Sungai Besar dan Tanjong Datu.
"Saya sebut ini kerana nak ingatkan, kita boleh menang, tapi, kita telah menang peperangan namun perjuangan belum berakhir," katanya.
Najib berkata beliau berpegang kepada prinsip bahawa persiapan yang rapi perlu dilakukan untuk menghadapi sesuatu perkara yang besar seperti pilihan raya umum.
"Saya kira kita sudah bersedia, tapi masih ada lagi sikit kerja. Kita mesti pastikan jentera kita buat kerja," katanya.
Beliau turut mengingatkan jentera supaya mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam melakukan gerak kerja terutama di peringkat akar umbi.
"Saya nak minta, jaga hati rakyat dan pengundi. Bila mereka susah, kita tolong... jangan dekat pilihan raya baru nak pergi jumpa mereka," kata Najib
No comments: