Malam semalam amat bermakna bagi saya kerana dapat berjumpa, berhimpun dan bergaul bersama aktivis media sosial pro Kerajaan Barisan Nasional.
Mereka ini bukanlah calang-calang orangnya, mereka ini panglima di alam maya yang begitu setia mempertahankan dasar Kerajaan Barisan Nasional, mempertahankan maruah parti dan membidas segala pembohongan yang giat dipermainkan oleh pembangkang sejak sekian lama.
Saya berkeyakinan tinggi para aktivis media sosial kita ini juga, akan terus memainkan peranan mempertahankan Kerajaan dan membantu mengekalkan Barisan Nasional di Putrajaya.
Ini semua kerana mereka, seperti saya dan jutaan rakyat Malaysia lagi, percaya bahawa di bumi Malaysia ini tidak ada pilihan yang lebih baik daripada Barisan Nasional.
Saya mahu para aktivis media sosial kita juga ada kepercayaan diri dan melihat bahawa anda semua bukan sekadar aktivis tetapi adalah pejuang nasionalis.
Medan perang kita hari ini sudah berubah, tidak lagi dalam bentuk fizikal atau face to face tetapi alam maya atau ruang siber adalah medan perang yang baru.
Jika kita imbas kembali apa yang berlaku dalam dua Pilihanraya Umum dahulu, Kerajaan Barisan Nasional terdedah kepada serangan tanpa ada bala tentera yang boleh menangkis serangan tersebut.
Tetapi hari ini, saya lihat bahawa sudah ada penambahbaikan dan kita telah berjaya menghimpunkan ramai aktivis media sosial, panglima-panglima alam maya kita yang setia bersama Barisan Nasional, yang tetap percaya kepada perjuangan dan dasar kita.
Namun, dalam kita berjuang bersama-sama menghala ke medan perang, sudah tentu ada prinsip asas yang perlu kita gariskan dan praktikkan.
Pertama, saya menyeru kepada semua untuk mengelakkan pertelagahan sesama sendiri. Kita mesti komited kepada perjuangan secara bersama, berjuang menegakkan Kerajaan Barisan Nasional.
Kedua, kita mesti memperluaskan lagi rangkaian alam maya kita. Kita perlu tentukan kandungan dan mesej kita kepada rakyat dan berkongsi maklumat sesama kita agar ia dapat disebarkan dengan lebih meluas dan lebih berkesan lagi.
Kita mesti berusaha berkomunikasi dengan influencers dalam pelbagai bidang dan membina rangkaian kita agar mereka juga terlibat bersama dengan kita.
Ketiga dan yang terakhir sekali, amanat saya kepada semua adalah kita perlu belajar daripada apa yang berlaku dalam Pilihanraya Umum dahulu.
Kita mesti tangkas dalam respons kita dan tidak terperangkap, sepertimana yang berlaku pada hari mengundi dalam Pilihanraya Umum Ke-13 di mana pembangkang telah menyebarkan berita palsu mengenai kononnya kita membawa masuk pengundi Bangladesh untuk mengundi, bahawa kononnya kita mewujudkan keadaan blackout di tempat tertentu untuk memanipulasi undi.
Cerita ini semua langsung tidak masuk akal, tetapi ramai terpedaya dengan berita ini yang sedikit sebanyak membawa kesan kepada pengundi dan pilihan raya itu sendiri.
Saya jangkakan bahawa dalam Pilihanraya Umum yang akan datang, pembangkang akan kembali menggunakan taktik kotor serupa, melontarkan sesuatu yang tak terfikir oleh kita nanti untuk membuatkan orang marah dan benci pada kita.
Ingatlah bahawa pembangkang hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja iaitu “If you cannot convince them, confuse them”.
Taktik kotor mereka amat jelas, jika mereka tidak dapat meyakinkan pengundi agar mempercayai janji-janji kosong atau kata-kata manis mereka, modus operandi mereka adalah untuk mengelirukan rakyat agar menimbulkan ketidakpercayaan serta kemarahan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.
Kita sudah lama berada dalam ‘defensive mode’. Cukuplah. It is now time to attack !
Insya-Allah, dengan semangat juang dan kesepaduan sesama kita, kita mampu peroleh kejayaan besar dalam PRU 14, dan Putrajaya akan kekal milik Barisan Nasional ! - Dato Seri Najib Tun Razak
https://www.najibrazak.com/bm/blog/himpunan-aktivis-media-sosial-2017/
*#InfoGrafixSEMUT*
No comments: