'/>

Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini #CutiUmumSarawak

Buat julung kalinya dalam sejarah, rakyat Sarawak akan mengadakan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai ini selepas ia diisytihar sebagai cuti umum bagi negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, sambutan Hari Sarawak 2016 yang bertempat di Tebingan Kuching bermula pada jam 8 pagi bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Pada tahun ini sambutan Hari Sarawak amat signifikan kepada kita kerana ini pertama kali dalam sejarah hari berkenaan diisytihar sebagai cuti umum oleh Ketua Menteri (Adenan).

“Pada acara ini nanti, kita akan menyaksikan ucapan daripada Ketua Menteri selain ia diisi dengan perkara lain seperti persembahan gambaran sejarah Sarawak serta pameran-pameran yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk sambutan Hari Sarawak 2016 yang dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ismawi Ismuni, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi dan Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, sambutan di Tebingan Kuching dijangka dihadiri lebih 100,000 orang dan percaya ia akan disambut oleh rakyat Sarawak serentak di seluruh negeri mengikut aktiviti masing-masing.

“Mungkin ada di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai aktiviti mereka sendiri sempena sambutan ini dan kita berharap merek akan mengadakan sambutan mengikut pematuhan atau undang-undang.

“Kita tidak ada halangan bagi mana-mana NGO mengadakan sambutan di mana sahaja dan terpulang kepada mereka tetapi ia harus berlunaskan peraturan,” tegasnya.

Jelas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan itu, mesej penting untuk disampaikan adalah Sarawak tetap kekal bersama Malaysia meskipun melakukan sambutan itu dalam konteks negerinya sendiri.

“Sambutan ini juga amat penting terutama kepada generasi muda kita agar mereka tahu sejarah negeri ini dan paling penting penyertaan kita dalam Malaysia mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata secara peribadi beliau berasakan sambutan itu perlu dinamakan ‘Hari Sarawak’ berbanding ‘Hari Kemerdekaan Sarawak.’

“Ini kerana pada ketika itu (22 Julai 1963) kita hanya telah menerima kuasa eksekutif kepada kabinet yang ditubuhkan, namun Gabenor British terakhir, iaitu Sir Alex Wadell masih tinggal di Astana dan hanya meninggalkan kediaman itu pada 15 September 1963.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY