'/>


Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno, jika ia mahu, mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan. 

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, parti tidak akan berbuat demikian kerana ia bukannya cara yang bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian.

“Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)…kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan… tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab,” katanya.

Perdana menteri menegaskan demikian semasa berucap kepada kira-kira 15,000 hadirin yang menyambut kunjungan beliau di pekan pesisir pantai ini, kira-kira 150km ke selatan Kota Kinabalu hari ini. 

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan tidak mahukan kekerasan kerana menurutnya, “itu bukan cara kita selesaikan masalah di bumi Malaysia ini”.

Menurutnya pilihan raya sentiasa diadakan di Malaysia apabila tiba waktunya dan semua pihak boleh ambil bahagian semasa kempen.

“Kita ada pilihan raya… nak kempen, kempen lah, nak berucap sampai tak larat lagi nak cakap, buatlah, nak bertempek pun, tempeklah,” kata Najib yang sebelum itu berkunjung ke daerah pedalaman Tenom, di barat daya Sabah.

“Mereka kata bersih… belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah,” kata Najib.

Perdana menteri menegaskan Malaysia bukannya seperti negara tertentu di mana pemerintahnya menang 95 peratus undi semasa pilihan raya yang pastinya banyak pihak yang mencurigai keputusan pilihan raya.

“Di Malaysia tidak pernah berlaku seperti itu. Kita menang sebab rakyat support (sokong). Saya tak rela jadi perdana menteri atas penipuan. Saya nak jadi perdana menteri kerana rakyat sukakan kita (BN) dan rakyat percaya dan senang dengan BN,” katanya.

Atas kepercayaan rakyat terhadap BN, kata beliau, kerajaan akan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk perjuangkan nasib rakyat.

Najib berkata Malaysia kini berada di ambang transformasi ke arah menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera dengan pelan pembangunan yang jelas dan hanya menunggu masa untuk melaksanakannya.

“Tetapi apakah ini harus dikorbankan semata-mata kerana hawa nafsu sesetengah pihak yang nak kejar jawatan perdana menteri, hendak menguasai Putrajaya?” katanya.

Najib mengingatkan bahawa demonstrasi jalanan seperti dirancang pada 9 Julai boleh membawa kecelakaan dengan sekelip mata, lebih-lebih lagi apabila pihak tertentu membakar emosi dan perasaan orang ramai.

Katanya jika ada pihak yang menjadi “tukang kipas, tukang bakar” emosi semasa perhimpunan haram itu, golongan yang bakal menjadi mangsa adalah juga “rakan kita, keluarga kita”.

Beliau berkata apabila berlaku “psikologi samseng”, orang yang baik akan tiba-tiba bertukar menjadi ganas dan tidak boleh dikawal sehingga tidak kira harta benda atau nyawa orang lain terancam.

Perdana menteri seterusnya menegaskan pentingnya gagasan 1Malaysia dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia agar ia bukan sekadar menjadi slogan yang menjadi sebutan atau paparan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan sehingga menjadi nilai pegangan, sikap dan cara pemikiran rakyat Malaysia.

Katanya, beliau mendapati keharmonian yang wujud di Sabah merupakan contoh terbaik konsep 1Malaysia bagi membolehkan rakyat pelbagai kaum hidup aman damai tanpa sebarang tembok pemisah.

Di majlis itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk membina semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dan peruntukan RM2.7 juta untuk memperbaiki bumbung Esplanade Sipitang yang sebelum in sering mengalami kerosakan akibat ditiup angin kencang.

Hadir sama ialah ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan beberapa wakil rakyat tempatan parti komponen BN.

- Bernama
| Copyright © 2013 MERADONG TODAY