'/>

Bagi yang suka membaca 'tanda-tanda'... boleh ambil apa yang diakatakan oleh Pengarah Pilihanraya Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu indikasi penting.

Muhyiddin yang melakukan lawatan kerja dua hari di Bumi Kenyalang itu confident BN Sarawak sudah bersedia menghadapi pilihan raya negeri pada bila-bila masa, katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu BN negeri kini dalam keadaan siap siaga dan aktif menangani isu-isu yang dihadapi rakyat negeri ini.

Katanya kerajaan BN sentiasa memberi tumpuan kepada rakyat dan berjuang untuk kebajikan mereka seperti yang dilakukannya dalam menghadapi banjir baru-baru ini.

"Ia sentiasa menjadi dasar BN untuk membantu rakyat miskin," kata Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN semasa menjawab soalan media mengenai persiapan menghadapi pilihan raya negeri, pada majlis bersama rakyat di Dewan Sivik Bau Jumaat.

Menurutnya beliau berpuas hati dengan semua inisiatif yang diambil oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, sama ada pentadbirannya atau politik.

"Saya melihat sokongan yang diberikan rakyat kepada kerajaan BN negeri menjadi semakin kukuh dan lebih baik," kata beliau.

Ditanya mengenai hasrat Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Rakyat (Teras) menyertai BN Sarawak, Muhyiddin berkata perkara itu akan diputuskan bila tiba masa yang sesuai.

Bernama melaporkan Adenan pula berkata UPP dan Teras sentiasa menyokong BN "dan ini yang penting...kita boleh berunding (mengenainya)".

UPP dibentuk oleh bekas timbalan setiausaha agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sri Wong Soon Koh berikutan krisis kepimpinan dalam SUPP.

Teras pula diketuai oleh bekas presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan, yang juga menghadapi masalah dalam SPDP.

Kedua-duanya adalah menteri kanan Sarawak.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata ekonomi Sarawak kini semakin kukuh dengan pelbagai inisiatif kerajaan untuk memperluas pangkalannya dan menarik lebih ramai pelabur asing.

"Apabila ekonomi Sarawak kukuh, ia akan menyumbang secara positif kepada ekonomi negara," katanya.

Menurutnya lebih RM24 bilion pelaburan asing diperoleh di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu, yang merupakan sebahagian daripada Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

"Ini menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Kini, semakin banyak kawasan perindustrian baharu diwujudkan.

"Selain itu, tumpuan diberikan kepada usaha membangunkan industri berskala sederhana kecil bagi membantu masyarakat meningkatkan pendapatan mereka," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat bahawa kestabilan politik dan perpaduan adalah kunci kepada mengekalkan pertumbuhan dan perluasan ekonomi.

Mengenai banjir di Sarawak, beliau berkata seramai 14,996 orang dari 4,000 keluarga telah dipindahkan semasa bencana itu.

Ini tidak termasuk 58,107 orang dari 11,027 keluarga yang terjejas tetapi enggan berpindah ke pusat-pusat pemindahan kerana mahu menjaga harta mereka.

Muhyiddin berkata walaupun ada pemotongan dalam bajet negara, kerajaan memperuntuk RM40 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara dengan membina rumah baharu atau membaiki rumah yang rosak.

Pada majlis itu, seramai 20 orang daripada 81 mangsa banjir di daerah Bau menerima bantuan RM500 daripada Muhyiddin.

Sumber:agendadaily

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY