"Jangan guris hati kami dengan mengangkat idealisme komunis... anda tidak tahu betapa peritnya ranjau yang kami lalui untuk mewujudkan Malaysia yang aman seperti hari ini," kata bekas tentera berpangkat koperal yang pernah menentang keganasan komunis tahun 70-an, Saad Hashim, 60, ketika ditemui di Kampung Pida 12 di sini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada tindakan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) memakai baju berlambangkan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) ketika ditahan di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Katanya, cubaan menghidupkan kembali komunisme seperti sengaja menyalakan api yang sudah lama terpadam dalam diri perajurit negara dan tidak sepatutnya dibenarkan.
“Golongan ini tidak tahu erti perjuangan dan apa akan jadi kepada negara ini jika komunis menang dan memerintah negara ini. Saya tidak fikir mereka juga akan menikmati kehidupan yang baik seperti hari ini,” katanya kepada Berita Harian.
Saad yang mula berkhidmat dalam Unit 5 Rejimen Renjer sebelum bersara 13 tahun kemudian, berkata hingga hari ini beliau masih mengingati detik cemas ketika bertempur dengan komunis di kawasan Bentong dan Karak, Pahang sekitar tahun 70-an.
“Ramai rakan saya terkorban dalam pertempuran dan kami kenal benar siapa itu komunis... mereka terlalu kejam. Hari ini saya kesal kerana pengaruh yang kami padam dengan darah perjuangan masih berbenih di bumi ini,” katanya.
Mejar (B) Mahamad Basri Din, 60, berkata perasaan bekas perajurit seluruh negara terguris dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang tidak memahami sensitiviti orang lain.
Katanya, cubaan mengembalikan idealisme komunisme terlalu sensitif kepada bekas perajurit yang menyaksikan sendiri kekejaman komunis, selain kehilangan ramai rakan seperjuangan di medan peperangan.
"Kami adalah saksi yang masih hidup untuk menceritakan kekejaman komunis dan kami juga melihat sendiri pengorbanan anak bangsa menegakkan sebuah negara berdaulat,” katanya.
Di LENGGONG, bekas Konstabel Khas (SC) yang pernah berjuang menentang komunis di Hulu Perak, Abdul Rani Che Lah, 73, berkata beliau tidak rela jika ada pihak cuba menghidupkan kembali fahaman komunis di negara ini.
“Saya masih ingat, antara kekejaman komunis diketuai Chin Peng, termasuk mengikat tangan penduduk ke tiang seri rumah sebelum membakar rumah itu di Kampung Chepor dan Bukit Sapi di Lenggong.
“Jadi, bukan saja melihatnya, sebut nama pun menyirap darah kami kerana dendam hutang darah selepas mereka membunuh kira-kira 10,000 ahli SC selain penduduk tidak berdosa,” katanya.
Abdul Rani yang kini menetap di Kampung Padang, Grik, berkata kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang cuba menghidupkan anasir subversif itu dan pada masa sama memberi penerangan yang jelas kepada rakyat mengenai kekejaman komunis.
Seorang lagi bekas SC, Wan Nik Wan Ngah, 87, berkata: "Selagi hidup, saya tidak rela melihat komunis bertapak di bumi aman dan makmur ini.
“Jangan sekali-kali cuba bermain api dengan menghidupkan semula fahaman komunis kerana padahnya akan menyesal tiada kesudahan hingga ke anak cucu menderita jika komunis berkuasa,” katanya.
sumber:permatangpauh