'/>

Warga Indonesia bawa banyak wang balik kampung jadi sasaran kumpulan "PUKAU"

KUCHING: Mereka menjadikan warga Indonesia yang dijangka memiliki banyak wang untuk dibawa balik ke kampung halaman ketika menunggu masa bas bertolak di Kuching Sentral sebagai mangsa pukau.

Kumpulan pukau yang bergerak di kawasan tersebut dipercayai terdiri daripada sekurang-kurangnya dua warga Indonesia dan tiga warga tempatan akan mengambil kesemua wang daripada mangsa.

Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching Jahar Gultom yang mendedahkan kegiatan itu berkata beberapa mangsa warga Indonesia telah membuat laporan di pejabatnya.

“Dua daripada mangsa telah kehilangan RM10,000 setiap seorang kerana menjadi mangsa pukau di Kuching Sentral baru-baru ini.

“Kita menasihatkan warga kita terutama yang membawa bersama wang yang banyak agar lebih berhati-hati apabila didatangi orang tidak dikenali ketika berada di Kuching Sentral,” katanya semalam.

Polis juga, menurutnya, telah memberkas suspek utama dan telah membebaskannya atas ikat jamin.

“Kumpulan pemukau ini akan mendekati mangsa dan dengan kata-kata manis cuba menjual barangan kemas. Mereka akan menepuk badan dan memukau hingga mangsa menyerahkan semua wang,” jelasnya.

Mereka selalunya memperdayakan mangsa di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai liputan kamera litar tertutup (CCTV) seperti di tandas.

“Kami telah memaklumkan Pesuruhjaya Polis Sarawak mengenai masalah ini baru-baru ini dan beliau berjanji akan memantau perkara ini,” katanya.

Mangsa lazimnya terdiri daripada mereka yang telah lama tidak balik ke Indonesia, dan membawa wang tunai yang banyak.

“Sindiket ini dipercayai aktif kembali selepas ketua mereka dibebaskan dengan ikat jamin baru-baru ini,” katanya.

Lazimnya mereka menjalankan kegiatan itu pada waktu petang hingga jam 7 malam.

“Kita berharap polis akan memberkas mereka dalam masa terdekat bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata polis maklum tentang sindiket dan sedang memantau dan meneliti lebih lanjut perkembangannya.

~utusan Borneo~

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY