'/>

Kes Bill Kayong Selesai Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police )

*KENYATAAN MEDIA*
*PESURUHJAYA POLIS SARAWAK*

Pada 21/6/16 jam lebih kurang 8.15 pagi, mangsa Bill Anak Kayong telah ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali ketika menunggu dalam keretanya di persimpangan lampu isyarat E-Mart, Tudan, Miri. Hasil post mortem dan siasatan forensik ke atas kereta mangsa, didapati bahawa saspek telah menggunakan senapang patah untuk menembak mangsa. Tidak ada saksi yang menyaksikan kejadian tampil ke hadapan untuk membantu dalam siasatan. Tidak ada juga CCTV di kawasan tempat kejadian dan persekitaran yang telah merekodkan kejadian ini. Dari mulanya, pihak polis telah menghadapi cabaran untuk menyelesaikan kes ini.

Pada hari berikutnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bin Abu Bakar telah mengumumkan penubuhan satu Task Force diketuai oleh KJSJ Sarawak, SAC Dev Kumar untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kes ini. Task Force ini dipantau oleh PJP Sarawak, Datuk Mazlan Bin Mansor. Beberapa pasukan JSJ Bukit Aman yang mempunyai kepakaran tertentu telah datang ke Miri untuk membantu Task Force.

Hasil siasatan yang dijalankan oleh Task Force, pada 30/6/16 dan 1/7/16, enam saspek telah ditangkap bersabit kes ini. Mereka terdiri daripada 5 lelaki dan 1 wanita, berumur antara 22 dan 41 tahun.

Hasil siasatan yang dijalankan, pada 5/7/16 jam 5.00 petang, salah seorang saspek telah membawa pasukan siasatan ke rumahnya di Jalan Hai Nam Lama, Miri. Saspek telah menunjukkan tempat dia menyembunyikan senapang patah yang dipercayai telah digunakan untuk menembak Bill Anak Kayong. Senapang patah tersebut dan beberapa butir peluru senapang patah termasuk satu kelongsong yang telah digunakan telah dirampas dari tempat yang ditunjukkan oleh saspek.

Dengan tangkapan saspek-saspek ini dan rampasan senapang patah, kita yakin kes pembunuhan Bill Anak Kayong berjaya diselesaikan. Task Force masih lagi mengesan beberapa saspek yang masih bebas. Butir-butir lanjut tentang saspek-saspek yang masih bebas belum dapat didedahkan pada masa ini. Usaha-usaha masih lagi berjalan untuk mengemaskini siasatan dengan tujuan menuduh saspek-saspek yang terlibat di Mahkamah.

*DATUK MAZLAN BIN MANSOR*
*PESURUHJAYA POLIS SARAWAK*

#1News Salah seorang suspek pengebom bunuh diri dalam siri serangan di Jeddah merupakan warga Pakistan.
Sumber jurucakap keselamatan Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memberitahu, suspek, dikenalpasti sebagai Abdullah Qalzar Khan, dipercayai individu yang meletupkan diri dalam serangan awal pagi semalam di Jeddah.
Abdullah Qalzar dilahirkan di Pakistan namun menetap di Jeddah bersama isteri dan kedua ibu bapanya.
Dia berhijrah ke Arab Saudi kira-kira 12 tahun lalu dan merupakan pemandu teksi.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat teknikal bagi membincangkan beberapa perkara tadbir urus berkaitan penurunan kuasa.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam.

“Memorandum tentang pendirian kerajaan negeri telah disampaikan kepada Perdana Menteri dan pertemuan ini telah mengambil maklum tentang beberapa perkara tadbir urus yang memerlukan perbincangan teknikal lebih lanjut antara kedua-dua pihak.

“Dipersetujui Peguam Negara mewakili kerajaan persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak mewakili kerajaan negeri, akan membincangkan perkara-perkara tersebut dengan lebih lanjut dalam satu mesyuarat teknikal yang akan diadakan dalam waktu terdekat,” tegas kenyataan itu.

Kenyataan akhbar bersama itu dikeluarkan selepas satu perbincangan diadakan antara Adenan dan Najib di Putrajaya pagi semalam.

Perbincangan itu membincangkan tentang penurunan kuasa, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Ia bertujuan memperkukuh tadbir urus Kerajaan Negeri Sarawak dalam mendukung Semangat Malaysia sebagai sebuah persekutuan dan Sarawak sebagai salah sebuah negeri yang aman serta makmur dalam Malaysia.

Hasil pertemuan itu menurut kedua-dua pemimpin tersebut juga membuktikan jalinan erat dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan sesebuah negeri .

TERKINI
05 Julai 2016

SAUDI ARABIA DISERANG!

#MADINAH DISERANG

Kota Madinah telah dikejutkan dengan beberapa siri letupan pengebom berani mati sekitar jam 2.00 pagi waktu Malaysia.

Serangan telah berlaku di tiga lokasi iaitu:

1. Kedutaan Amerika Syarikat? pengebom mati
2. Masjid Nabawi - 2 mati termasuk pengebom
3. Masjid Qatif - pengebom mati

_Sumber berita adalah tidak rasmi._

*Nantikan berita selanjutnya.*

_#Pray4Madinah_

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Saudara Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua sekali lagi pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana harmoni dan sejahtera.

Bersempena dengan hari yang mulia ini, saya dan isteri serta keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat anak Sarawak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

Di Bumi Kenyalang, kita merayakan hari terbesar bagi umat Islam ini dalam keadaan aman sentosa, dengan penuh keceriaan dan serba lengkap.

Berpakaian baru dan bersih, kita orang Islam akan berkumpul di masjid-masjid untuk bersembahyang raya, bertakbir, bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan memperbaharui persahabatan dan kenalan kita dengan semua orang Islam yang ditemui.

Dalam pada kita merayakan Hari Raya dalam keadaan yang begitu selesa, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat adik kakak kita yang terpaksa mengharungi suasana yang serba kekurangan dan kurang selesa dalam menyambut hari yang sungguh mulia ini.

Orang kurang upaya, fakir miskin dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pesisir pantai di mana masih belum lengkap kemudahan awamnya perlu sentiasa berada dalam ingatan kita.

Mereka ini menghadapi banyak cabaran untuk menyambut Hari Raya dalam suasana yang selesa.  Saya amat berharap dan berdoa agar mereka sentiasa tabah menghadapi segala cabaran dan kesulitan.

Namun, mereka yang susah dan miskin tidak akan dibiarkan tanpa pembelaan. Mereka inilah dalam golongan orang yang seharusnya mendapatkan perhatian lebih daripada Kerajaan Negeri. Golongan yang berada dan kaya mampu membela nasih mereka sendiri tanpa banyak bantuan daripada Kerajaan.

Dalam Islam, kita seharusnya sentiasa menegakkan keadilan sebagai suatu prinsip, samada untuk umat Islam atau orang bukan Islam, walaupun ia tidak berpihak kepada kita.

Pilihanraya Negeri Sarawak sudahpun selesai dan rakyat Sarawak telah membuat keputusan dan memberi isyarat yang cukup jelas. Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Negeri Sarawak yang telah memberi mandat kepada saya untuk memimpin Kerajaan Negeri Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi. Sekarang adalah masa untuk berusaha ke arah Sarawak yang lebih maju dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sarawak menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963 dengan harapan Sarawak akan menjadi sebuah negeri yang maju mengikuti jejak langkah Semenanjung Malaysia.

Adalah menjadi impian semua anak Sarawak untuk melihat negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju setanding dengan Semenanjung Malaysia dari segi infrastruktur, kemudahan asas dan ekonomi. Apa yang ada di Semenanjung kita mahu juga ada di Sarawak.

Saya yakin dan percaya negeri ini berada pada landasan yang betul kearah ekonomi yang lebih mantap berdasarkan prestasi Kerajaan yang ada sekarang pada tahun-tahun yang lepas.

Dari segi prestasi ekonomi, sukacita dinyatakan bahawa Negeri Sarawak telah mendapat pengiktirafan “clean bill of health” untuk tempoh 14 tahun berturut-turut dengan rizab sebanyak RM27 bilion pada tahun 2014.

Sarawak merupakan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Negara. Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK nominal Negeri Sarawak pada tahun 2014 ialah RM119 bilion dan Pendapatan Per Kapita kita ialah RM44,000.

Statistik menunjuk ekonomi Negeri Sarawak lebih besar daripada ekonomi Pulau Pinang yang mempunyai KDNK Nominal RM71 bilion dan Pendapatan Per Kapita RM42,000.

Dari segi pelaburan, Sarawak menduduki anak tangga teratas antara negeri-negeri dalam tempoh empat tahun sejak tahun 2012. Negeri Sarawak telah menarik pelaburan secara konsisten daripada pelabur dalam negeri dan luar Negara.

Sarawak merakamkan jumlah pelaburan bernilai RM11.8 bilion dalam tahun 2015 dan merupakan destinasi pilihan kedua selepas Johor. Dengan pencapaian ini Negeri Sarawak berada pada tahap lebih baik daripada Selangor dengan jumlah RM7.96 bilion dan Pulau Pinang RM6.72 bilion.

Negeri Sarawak tidak mampu mencapai prestasi ekonomi seperti yang dirakamkan pada beberapa tahun yang lepas jika negeri ini tidak mempunyai sebuah Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dan memandang jauh ke hadapan.

Negeri Sarawak tidak juga mampu mencapai kejayaan setakat ini jika rakyatnya tidak bersatu dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha pembangunan.

Sudah pasti mandat yang cukup besar yang telah diberi kepada saya memberi suntikan semangat kepada saya untuk berkhidmat dengan lebih yakin dan gigih lagi untuk kepentingan negeri Sarawak.

Sokongan padu rakyat Sarawak amat perlu khususnya dalam usaha mengembalikan kuasa-kuasa Negeri Sarawak dari Kerajaan Persekutuan yang telah terhakis pada masa yang lepas.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sudi berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak agar kuasa-kuasa Negeri Sarawak seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Inter-Governmental Committee Report dan Malaysia Agreement 1963 yang telah terhakis selama ini dikembalikan kepada Negeri Sarawak.

Saya tahu juga penurunan kuasa dan pengembalian kuasa kepada Negeri Sarawak merupakan impian setiap warga Sarawak sejajar dengan hasrat-hasrat para pemimpin Negeri Sarawak yang telah bersetuju dengan Perjanjian Malaysia pada tahun 1963.

Proses perunding ini adalah rumit dan memakan masa yang panjang. Namun, dengan kesabaran dan sokongan padu rakyat Sarawak saya yakin kita akan berjaya akhirnya.

Sebagai umat Islam kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan sebagai tanda kemenangan mengharungi pelbagai dugaan selama sebulan dalam bulan Ramadhan. 

Umat Islam telah menahan diri daripada lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan demi menunaikan kewajipan sebagai seorang Mukmin. 

Namun, berpuasa dalam Islam bukan hanya bermaksud menghindarkan diri daripada makan dan minum, tetapi daripada nafsu, keinginan yang mementingkan diri dan semua tindakan yang memudaratkan diri sendiri atau orang lain. 

Dalam pada merayakan Aidilfitri ini kita umat Islam janganlah lupa mengenai hak-hak golongan yang memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan kita agar mereka juga dapat sama-sama menyambut Hari Raya dengan penuh rasa kesyukuran terhadap limpah dan kurnia Allah Subhana Wa Ta'ala.

Atas dasar inilah syariat mewajibkan agar setiap daripada umat Islam menunaikan zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Saya mengajak seluruh anak Sarawak, tidak kira bangsa atau keturunan untuk  sama-sama berusaha ke arah mengekalkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negeri ini. Perbezaan pendapat, agama dan budaya tidak seharusnya menjadi benteng pemisah antara kita untuk membina Sarawak yang lebih maju, aman dan makmur.

Seperti yang telah menjadi amalan rakyat berbilang kaum dan agama di Negeri ini, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan antara sesama umat Islam dan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama lain. 

Teruskanlah amalan kunjung mengunjung supaya Hari Raya menjadi lebih bermakna kepada kita semua.

Saya dan isteri akan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo atau BCCK di Kuching pada hari pertama dan hari kedua Aidiliftri bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang.

Bagi saudara dan saudari yang berkesempatan datanglah beramai-ramai ke BCCK pada hari-hari berkenaan.

Akhir kata, saya dan isteri serta keluarga dengan seikhlas hati mengucapan “SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.  MAAF ZAHIR DAN BATIN” kepada seluruh rakyat Negeri Sarawak.

Sekian.  Wabillahitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Adenan Satem & Jamilah beserta keluarga

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY