'/>

6 KERAGUAN MENGENAI DANA INVOKE - "TIDAK LOGIK SEWA PEJABAT INVOKE HANYA RM262 DAN GAJI PEGAWAI INVOKE HANYA RM1,000?"

1. Desakan Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah agar Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan sumber dan perbelajaan dana yang dikutipnya daripada orang awam telah menyebabkan Rafizi menjadi kelam kabut.

2. Rafizi akhirnya terpaksa mendedahkan butiran pendapatan dan perbelanjaan INVOKE serta Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), namun WUJUD  6 KERAGUAN yang membuatkan Rafizi dilihat sebagai berbohong dan membentangkan butiran palsu. 6 KERAGUAN ini adalah:

I) Bukti transaksi pengeluaran ASB dan Tabung Haji untuk kegunaan dana INVOKE.

Pada 10 Mei 2015, Rafizi menyatakan ada simpanannya berjumlah RM212,000 dalam ASB dan RM464,372 di Tabung Haji. Jumlah keduanya sebanyak RM676,372. Pada 13 September 2016 pula, Rafizi menyatakan beliau melaburkan sebanyak RM300,000 untuk INVOKE.

Dalam kenyataan 5 Mei 2017, Rafizi menyatakan beliau memberi sumbangan sejumlah RM787,049 untuk INVOKE guna duit Tabung Haji dan ASB. Bermakna ada tambahan lagi RM487,049 berbanding kenyataan awal pada September 2016. Ini bermakna Rafizi telah keluarkan hampir semua wangnya dalam Tabung Haji dan ASB. Kenyataan Rafizi ini adalah andaian sahaja tanpa resit pengeluaran ASB dan Tabung Haji sebagai bukti.

II) Jumlah kutipan dan penyumbang dana.

Rafizi mengandaikan sejumlah RM857,369 berjaya dikutip menerusi pelbagai majlis kutipan dana. Jumlah ini agak besar dan tidak diperincikan dengan jelas berapakah majlis dan siapakah yang menyumbang dana.

III) Gaji staf yang rendah.

Gaji kakitangan untuk 80 orang adalah berjumlah RM888,487, secara purata RM11,106 setiap orang. INVOKE beroperasi sejak Ogos 2016 dan sehingga Mei 2017 sudah masuk bulan ke-10 ia berjaya beroperasi. RM11,106 dibahagikan 10 bulan adalah RM1,110.60 seorang. Jumlah perbelanjaan gaji ini amat tidak munasabah.

IV) Jumlah aliran wang masuk ke pejabat, bilangan staf dan kadar sewa pejabat.

Rafizi menyebut INVOKE ada 17 pejabat. Aliran wang masuk ke setiap pejabat, siapa di setiap pejabat, jumlah pekerja dan berapakah sewa bulanan pejabat pun tidak diperincikan oleh Rafizi sendiri.

Katakanlah RM44,654 untuk 17 pejabat selama 10 bulan INVOKE beroperasi. Ini bermakna kos sewa satu pejabat sebulan ialah RM262 sahaja. Ini jumlah amat tidak logik. Ternyata anggaran Rafizi ini hanya serkap jarang.

V) Mengakui dirinya sebagai penjawat awam.

Rafizi bukanlah seorang penjawat awam. Mengikut tafsiran Bahagian X Perlembagaan Persekutuan, Perkara 132 hingga Perkara 148. Perkara 132 (3) tidak mengkategorikan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai penjawat awam.

VI) Kebenaran mengutip wang dari orang awam.

Adakah Rafizi, INVOKE dan NOW telah diberikan kebenaran oleh Bank Negara Malaysia dan pihak berkuasa lain seperti Kementerian Dalam Negeri untuk mengutip wang dari orang ramai? Adakah Rafizi telah menerima kelulusan mengutip derma di bawah Akta Pengawalan Pengutipan Derma? Jika ada, di mana permit kebenarannya?

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY