'/>

Meskipun gagal dalam memanipulasi isu 1MDB, Sarawak Report (SR) diyakini tidak berhenti setakat itu dalam percubaan menjejas imej kerajaan.

Pengerusi Kelab Penyokong BN Sarawak (BNBBC) Abdullah Saidol mempersoal kesahihan laporan SR, berkata portal berita itu tidak pernah memuji atau menyokong usaha baik kerajaan.

“Sarawak Report adalah ejen propaganda bertujuan dan dibiayai bekas penjajah kita. Telah terbukti SR mengguna banyak maklumat yang mereka sendiri tahu tidak benar atau diputar belit untuk menyerang kerajaan.

“Adalah pelik bertanya mengenai kredibiliti SR kononnya tercalar disebabkan pendedahan ini kerana hakikatnya SR tidak pernah ada kredibiliti untuk dicalar,” katanya ketika mengulas SR dan laporan pendedahannya mengenai 1MDB sebelum ini.

Menurutnya, walaupun 1,000 mahkamah dari berbagai negara berjaya membukti SR berbohong dan memfitnah, beliau yakin ia tidak akan berubah dan berganjak daripada prinsip perjuangan mereka sehingga misi menghuru-hara negara ini berjaya.

Katanya, kegagalan mereka untuk memanipulasi isu 1MDB hanya kegagalan kecil bagi SR serta rakan-rakan medianya yang lain.

“SR bukanlah media bebas dari pengaruh politik. Pihak pembangkang juga bersekongkol dengan mereka.

“Usaha kerajaan memberi perhatian kepada inisiatif untuk membaiki keadaan serta memakmurkan negara sedikit sebanyak diganggu anasir surbersif SR serta konco-konco mereka yang mengambil setiap peluang menimbulkan fitnah melampau serta suasana berburuk sangka masyarakat,” jelasnya.

Katanya, perpaduan rakyat berbilang kaum diharap dapat diperkukuh dan jangan cepat melatah sekiranya wujud kecacatan dalam kerajaan.

Apa jua masalah katanya wajar diselesaikan menerusi saluran yang betul.

“Kita pernah dijajah. Jangan biarkan pemikiran dan jiwa kita dijajah lagi.

Baik buruk negara ini ia tetap tanah tumpah darah kita.

“Tempat kita dilahirkan dan ramai kita mahu jasad kita disemadikan di sini,” ujarnya.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY