'/>
KUALA LUMPUR, 30 April -  Laporan lengkap mengenai perhimpunan yang dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan disokong pembangkang di ibu negara semalam akan diserahkan kepada pihak Peguam Negara bagi proses pendakwaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ketika ini polis sedang meneliti rakaman keseluruhan perhimpunan tersebut termasuk saksi insiden itu sebelum laporan lengkap mengenainya diserahkan kepada Peguam Negara.

“Pada ketika ini, keadilan dan pembelaan yang kita mahu. Saya difahamkan, setiap insiden sudah dirakam dan ia (rakaman) akan diteliti dalam proses siasatan dan pendakwaan.

“Kita mahu siapa yang bersalah dalam hal ini dibawa ke muka pengadilan dan tiada istilah pilih bulu kepada sesiapa yang didapati bersalah,” katanya kepada media di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Ahad.

Sebelum itu, beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat dua petugas media dan dua anggota polis yang cedera ketika perhimpunan itu di hospital berkenaan.

Hishammuddin berkata rakaman teliti yang dibuat beberapa pihak akan digunakan bagi membantu pihak Peguam Negara untuk menentukan siapa yang harus dibawa ke muka pengadilan nanti.

Ketika diminta mengulas mengenai insiden tindakan polis yang menahan dan memukul salah seorang anggota media yang membuat liputan pada perhimpunan itu, Hishammuddin berkata ; “Saya harap ia tidak benar tetapi saya tidak akan melindungi sesiapa. Jika anda melanggar undang-undang, anda akan dikenakan tindakan, katanya.

Justeru itu, beliau meminta orang ramai tidak membuat pelbagai spekulasi mengenai insiden tersebut dan berlaku adil kepada semua pihak termasuk polis.

Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Datuk S.Ambiga yang bertanggungjawab menganjurkan perhimpunan itu, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada Peguam Negara.

“Kita kena faham proses pendakwaan ini kerana kalau kita tak ikut proses itu, akhiranya kita juga yang dituduh tak telus dalam tindakan kita,” katanya.

Beliau dalam pada itu menolak dakwaan bahawa pihak keselamatan memulakan provokasi pada perhimpunan itu dan beliau bercadang untuk menyiarkan rakaman perhimpunan tersebut kepada orang ramai bagi membuktikan kebenaran.

Beliau juga memuji keberanian jurukamera Mohd Azri Mohd Salleh dari stesen televisyen Al-Hijrah yang cedera selepas cuba menghalang peserta perhimpunan daripada terus memukul seorang anggota polis.

“Saya mengucapkan terima kasih atas keberanian dan keprihatinan jurukamera itu kerana membantu polis yang cedera dipukul anggota perhimpunan,” katanya

- http://umno-online.com/?p=59518&utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter&utm_campaign=Feed%3A+umnoonline+%28UMNO+Online%29

posted from Bloggeroid

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY