'/>

BINTANGOR: Ketua Barisan Nasional (BN) Bintangor Ding Kuong Hiing menyifatkan tiada satu pun projek pembangunan dilaksana di kawasan luar bandar di sini dan Sarikei setelah Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong diwakili pembangkang.

Katanya pembangkang yang menawan Sarikei dan Meradong, khasnya Bintangor tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan dan ini mengakibatkan rakyat menderita.

“Ia bukan masa yang singkat untuk rakyat menderita tanpa pembangunan untuk satu dekad.

“Sudah tiba masanya untuk mereka sekarang menimbang semula dengan memberi mandat kepada BN untuk mengubah kehidupan mereka pada masa depan,” katanya berucap semasa kunjungan Hari Gawai Dayak ke Rumah Sukin Gatal di sini, kelmarin.

Ding berkata semasa beliau menjadi wakil rakyat dalam kerajaan BN, rakyat telah menikmati pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan projek jalan raya.

“Dana-dana pembangunan datang daripada kerajaan BN. Tetapi sekarang, dana yang sepatutnya diperuntukkan ke sini disebabkan tiada BN ia telah disalurkan ke kawasan-kawasan lain,” tegas bekas Ahli Parlimen Sarikei itu.

Ding berharap jika beliau adalah calon BN pada pilihan raya akan datang, beliau memohon agar sokongan kepadanya terus dipertingkatkan.

“Jangan terperdaya sekali lagi dengan pihak pembangkang. Rakyat tidak boleh hidup tanpa pembangunan,” tambahnya.

Sementara itu, Tuai Rumah Sukin dalam ucapan aluannya memuji Ding atas komitmen dalam berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut mengakui rakyat telah merasai hasil pembangunan semasa Ding menjadi wakil rakyat mereka.

Sukin turut memberi jaminan kepada Ding bahawa penduduk rumah panjangnya akan memberi sokongan padu kepada BN pada Pilihan Raya Negeri akan datang yang dijangka akan diadakan dalam tempoh kurang setahun lagi.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY