'/>

Dakwaan mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyalahgunakuasa kuasa kuasanya dengan membekukan akaun-akaun bank dalam Ops Gergaji di Sarawak dan Operasi Bersepadu (Ops BS) di Sabah adalah tidak benar, kata Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM itu menafikan dakwaan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Cheing Jen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Junz Wong bahawa tindakan membekukan akaun dibuat tanpa asas yang kukuh, sebaliknya SPRM katanya membuat pemantauan selama enam bulan sebelum operasi bersepadu dilakukan.

“Akaun terbabit hanya dibekukan susulan maklumat perisikan dan hasil siasatan mendalam yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shukri berkata, tindakan membekukan akaun adalah sebahagian daripada proses siasatan SPRM bagi membantu siasatan, dan juga agensi lain yang berkaitan dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009 serta seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, sebagai agensi penggubal perundangan, tidak adil mendakwa SPRM menyalah guna kuasa yang diberikan, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan mengikut lunas perundangan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Dalam hal ini, selaku agensi pencegahan rasuah, SPRM sedia mendengar pandangan orang ramai dengan mengambil kira aspek kemanusiaan termasuk sambutan perayaan Gawai di Sarawak dan pembangunan ekonomi negeri Sarawak dan Sabah,” katanya.

Katanya, SPRM sejak 18 Mei laluh menerima permohonan daripada sejumlah pemilik akaun terlibat dan tindakan sewajarnya diambil termasuk melepaskan sebahagian wang yang dibekukan.

Pada masa sama, katanya SPRM Sarawak dan Sabah juga mengadakan ‘engagement’ dengan persatuan yang mewakili industri bagi menjelaskan rasional tindakan pembekuan akaun dan langkah yang boleh diambil ahli mereka yang terbabit dengan pembekuan akaun.

Beliau turut mengulangi kenyataannya mengenai akaun yang dibekukan akan diberi pelepasan sebahagian sekiranya ada justifikasi yang munasabah.

Katanya perkara ini merupakan amalan normal SPRM dan juga mana-mana agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, mana-mana pemegang akaun syarikat yang dibekukan akaun mereka boleh memaklumkan kepada SPRM untuk akaun mereka dilepaskan sebahagian bagi pembayaran perbelanjaan operasi seperti gaji dan perkara lain yang penting dan akan dibuat seberapa segera.

“SPRM sedia memberi pertimbangan dengan syarat ada justifikasi yang munasabah. Mereka boleh datang ke Pejabat SPRM.

“Bagaimanapun pelepasan keseluruhan akaun bergantung kepada hasil siasatan,” katanya.

Ops Gergaji merupakan satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak bagi membanteras kegiatan rasuah, pembalakan dan penebangan hutan secara haram di Sarawak serta perbuatan mengelak cukai kepada kerajaan oleh pemilik syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak.

Manakala Ops BS di Sabah diadakan bagi membanteras perlakuan rasuah, penyelewengan minyak bersubsidi dan penyeludupan rokok dan arak.

Gabungan pengusaha balak dan minyak sawit di Sarawak sebelum ini dilaporkan kecewa dengan SPRM yang membekukan lebih 500 akaun syarikat dan individu dalam operasi bersepadu membanteras pembalakan haram, sedangkan ada syarikat yang mempunyai pengarah yang sama namun tidak terlibat dengan pembalakan haram.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem juga dilaporkan menyeru SPRM membatalkan pembekuan akaun syarikat supaya dapat membayar gaji pekerja. – The Malaysian Insider

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY