'/>
KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bersempena dengan perayaan kemerdekaan ke-55 negara, rakyat Malaysia tidak seharusnya lupa bahawa perpaduan semua bangsa di negara ini telah memberikan sebuah negara Malaysia berdaulat seperti hari ini.
   
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada apa yang pernah diperjuangkan oleh para pejuang kemerdekaan negara dan "jangan kita lupa bahawa ia adalah hasil daripada perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina serta India terdahulu dan tidak ada satu bangsa pun di negara ini yang menyokong perjuangan komunis.
   
"Kita juga tidak seharusnya lupa bahawa kejayaan ini adalah hasil perpaduan kita dengan etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Dayak dan Kadazan Dusun, tatkala negara bangkit daripada kesan penjajahan.
   
"Adalah mustahil untuk kita mengecapi kejayaan seperti hari ini secara sendirian. Sudah pasti ia didorong oleh kepelbagaian lapisan masyarakat yang mempunyai kelebihan masing-masing hingga menjadikan kita mampu bersaing di peringkat global," kata Najib dalam blog 1Malaysia beliau bertajuk "55 Tahun Pembangunan Melalui Perpaduan" hari ini.
   
Beliau berkata: "Marilah kita meraikan hari Merdeka dengan memperingati jasa pejuang kemerdekaan yang telah memberi kita sebuah negara berdaulat seperti hari ini."

"Pada saya, segala-galanya telah dilakukan dalam semangat 1Malaysia, hingga ia telah menjadi simbol kepada kejayaan negara. Tidak mengira perbezaan etnik, fahaman agama mahupun bangsa, saya menyeru supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan semangat perpaduan," katanya sempena sambutan Merdeka Jumaat ini.
   
Najib berkata menerusi semangat kekitaan yang menjadi teras 1Malaysia telah membolehkan rakyat Malaysia mengecapi kejayaan lebih baik dan masa depan lebih cerah.
   
"Ingatlah, selama ini kita telah bersama-sama menempuh segala dugaan dan cabaran sejak 55 tahun lepas. Lagipun, banyak perkara yang kita boleh banggakan.

Tidak mungkin ada negara lain yang mampu menyatukan rakyatnya daripada pelbagai etnik untuk duduk bersama-sama menikmati teh tarik di kedai mamak sambil menonton aksi atlet negara di Sukan Olimpik dan meraikan kejayaan atlet negara," katanya.
   
Najib berkata pembangunan pesat di Malaysia mampu untuk membuatkan rakyat berbangga mengenainya.
   
"Ekonomi negara kini berkembang pesat dan menjadi semakin stabil tatkala kebanyakan negara lain sedang bergelut dengan prestasi ekonomi mereka yang semakin merudum. Ketika pasaran global menjadi tidak menentu, pasaran modal dalam negara dicatatkan pada rekod tertinggi dengan FGVH dan IHH Healthcare tersenarai pada kedudukan kedua dan ketiga terbesar di duni," katanya.

"Kita juga berjaya memperbaiki kedudukan global apabila menduduki tangga ke-15 terbaik dunia dalam pasaran barangan paling berkesan, menduduki tempat ke-26 dari segi pembangunan infrastruktur dan ke-18 sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia," katanya.
   
Perdana Menteri berkata kesemua kejayaan negara adalah hasil perjuangan para pejuang kemerdekaan negara terdahulu dan "kita patut berterima kasih kepada mereka".
   
"Bersama-sama dengan tentera British, mereka berjuang habis-habisan menentang komunis serta gejala ekstremis yang mampu menggugat kehidupan rakyat di negara ini. Mereka kemudiannya berjaya memerdekakan negara dari cengkaman penjajah yang sekali gus memberi kita kuasa sepenuhnya untuk mengurus sendiri sumber kekayaan negara yang menyumbang kepada perkembangan ekonomi seperti getah, bijih timah, kelapa sawit dan bjih besi," kata Najib.
   
Beliau berkata komoditi-komoditi itu menjadi sangat penting kepada perkembangan industri eksport negara yang membolehkan kita melabur untuk pembangunan infrastruktur serta industri.
   
"Pada tahun-tahun seterusnya, negara telah mengalami pembangunan pesat daripada pekan-pekan kecil menjadi bandar-bandar besar, yang menempatkan ikon pencakar langit dan bangunan  yang menjadi lambang pencapaian kita," kata Najib.

Perdana Menteri berkata pada 1996, pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadikan Malaysia sebagai hab pelancongan antarabangsa dan dua tahun kemudiannya, pembinaan Menara Kembar Petronas (KLCC) pula mula menjadi ikon pencakar langit dalam negara.
   
"Dan lebih dari dua dekad selepas itu, bangunan yang menempatkan gedung beli belah popular dan dikenali sebagai Suria KLCC itu masih merupakan menara kembar paling tinggi di dunia," katanya.
   
Beliau berkata daripada bidang teknologi hinggalah ke hiburan segala apa yang ada hari ini merupakan simbol pembangunan negara dan rakyat patut berbangga dengan kejayaan yang telah dikecapi itu.
   
"Dengan kejayaan yang membanggakan ini, ia juga sudah pasti memberi keuntungan kepada negara. Bidang perniagaan mampu untuk menjadi lebih baik kerana kita mementingkan perkembangan teknologi tidak kira sama ada dalam talian atau sebaliknya," katanya.
   
Najib berkata apabila ekonomi berada dalam keadaan baik, ini diikuti juga dengan keadaan sosial di samping kualiti pendidikan yang menjadi semakin baik dan mula boleh dinikmati oleh setiap rakyat daripada segenap lapisan masyarakat.
   
Kemudahan sumber elektrik dan air di kawasan pedalaman membolehkan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan berkembang dan rakyat tidak lagi perlu berjalan jauh untuk membeli-belah, membuat pembayaran bil ataupun untuk menonton filem di pawagam, katanya.

Sumber: http://klpos.com/umum/14001-pm-teruskan-perpaduan-bina-negara-berdaulat

posted from Bloggeroid

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY