'/>

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Abdullah Saidol menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan dan menambah baik Akta Hasutan 1948.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri itu menegaskan, keputusan tersebut dapat menangani individu yang bersikap ekstrem dan suka menimbulkan isu perkauman melampau di negara ini.

“Saya menyokong penuh pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan ini, tapi jangan hanya merujuk kepada isu di Sabah dan Sarawak sahaja.

“Rasanya, tidak terlampau jika saya katakan bahawa mereka yang mulut celupar serta tabiat suka menghasut, putar belit dan fitnah melampau banyak bertapak atau berpunca di Semenanjung Malaysia.

“Kami di Sarawak seperti yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dengan jelas dan terang mengatakan bahawa isu seperti kalimah ‘Allah’ dan hudud tidak akan menjadi isu di sini,” katanya ketika mengulas mengenai perkara itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, budaya berpolitik yang tidak menekankan sensitiviti dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini sering berlaku di Semenanjung Malaysia.

Malah, tegasnya, terdapat individu ekstrem dilihat cuba masuk ke negeri ini untuk menghasut pemikiran rakyat.

“Orang yang tidak menyokong Akta Hasutan dikekalkan boleh dianggap musuh perpaduan dan pengkhianat bangsa yang tidak mahu negera ini kekal aman dan merdeka,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau menyeru semangat solidariti dalam kalangan rakyat dikekalkan.

“Saya akan menyokong sebarang bentuk usaha yang dapat membendung setiap anasir yang boleh memecah belah perpaduan kaum dan bersifat ekstrem,” ujarnya.

Read more


| Copyright © 2013 MERADONG TODAY