'/>

KUCHING - Berikutan Isu Perjanjian Malaysia 1963, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan kesediaannya untuk berbincang mengenai perkara tersebut sekiranya perjanjian tersebut telah disalahtafsir.

Kesediaan Najib itu telah dinyatakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sendiri dalam satu sidang media selepas mempegerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching petang semalam.

Menurut Adenan lagi, beliau sekali lagi menyatakan yang beliau amat komited untuk melihat negara Malaysia kekal stabil dan bersatu selamanya tanpa adanya rasa kebencian dan ketidakpercayaan antara satu sama lain di kalangan rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau juga menyatakan yang beliau akan terus berusaha untuk mendapatkan  kembali hak-hak yang sepatutnya diberi kepada negeri Sarawak menurut perjanjian tersebut.

"Saya telah berkali-kali menyatakan bahawa saya sepenuhnya akan terus
komited untuk melihat malaysia terus kekal stabil tanpa timbul rasa kebencian dan ketidakpercayaan di antara satu sama lain antara rakyat.

"Saya juga komited untuk melindungi dan menuntut kembali hak-hak kerajaan negeri, "katanya.

Dalam perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, beliau menyatakan yang terdapat  hasil positif telah dicapai mengenai isu-isu utama, seperti permintaan untuk meningkatkan royalti minyak dan gas di negeri ini dan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sepenuhnya.

"Saya juga percaya yang Perdana Menteri akan mengotakan janjinya untuk bersetuju untuk memberi segala hak-hak negeri Sarawak sepertimana yang telah termaktub dalam perjanjian tersebut," ujarnya lagi.

Di samping itu, segala rundingannya dengan kerajaan pusat akan diperincikannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula pada 21 sehingga 30 November akan datang.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY