'/>

SARIKEI: Ketika debaran semakin kencang dalam kalangan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tentang jumlah kerusi yang bakal diserahkan kepada mereka dalam pilihan raya nanti, semalam, sekurang-kurangnya presidennya  Datuk Dr Sim Kui Hian  dapat mengukir sedikit senyuman apabila kerusi Repok diberi kepada parti tertua itu.

Jika pada Khamis lalu, ketika berhadapan dengan Ketua Menteri, dan disiarkan secara langsung melalui siaran TV, parti itu hanya diberi 10 kerusi tradisionalnya, maka SUPP masih mempunyai harapan untuk terus menambahkan kerusinya.

Namun, senyuman yang diukur pengerusi SUPP, tentu tidak selebar yang sepatutnya.

Bagi kalangan pemerhati politik, pengumuman nama Datuk Sri Huang Tiong Sii agak mengejutkan kerana nama lain yang sepatutnya muncul. Seorang tauke balak yang memang mengenali kawasan majoriti Cina itu dengan baik, calon terbabit dianggap Adenan paling berpotensi untuk menawan balik kerusi berkenaan daripada DAP. 

Nama setiausaha agung Pemuda SUPP Teng Ung Woo muncul di radar politik masyarakat tempatan awal tahun ini.

Malah, difahamkan nama beliau turut tersenarai, dan diserahkan kepada Tan Sri Adenan Satem, awal Februari lalu.  Awal tahun ini, beliau berucap di satu majlis di sini, menyeru ahli parti supaya bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Beliau menasihati ahli agar bersatu padu dan menjalinkan kerjasama dengan parti komponen lain bagi memastikan Repok dapat dirampas kembali.

Beliau berkata, penduduk dan pengundi di Repok berpuas hati dengan kepemimpinan Adenan.

Terletak 70km dari bandar Sibu, di tengah Sarawak, Repok di Sarikei, merupakan kawasan yang untuk beberapa pilihan raya terakhir menyaksikan undi protes dan rasa tidak senang hati yang kuat terhadap kerajaan BN.

Mereka menolak BN dalam pilihan raya 2011, kerana kepemimpinan yang sudah terlalu lama berkuasa, dan persepsi wujudnya rasuah dan salah guna kuasa yang bermaharajalela. 

Terkenal sebagai tauke balak yang mempunyai kawasan pembalakan di luar negara, termasuk di Papua New Guinea, Huang akan berhadapan dengan penyandang Dr Wong Hua Seh (DAP) dalam satu persaingan yang dijangka sengit.

Pada 2011, Wong menumbangkan bendahari SUPP David Teng, dengan mendapat 59 peratus undi, Beliau  memperoleh 7,900 undi berbanding lawannya, yang meraih 5,221 undi (39%).

Jumlah pengundi berdaftar ialah 18,481, dengan hanya 13,387 atau 72.4 peratus turun mengundi pada pilihan raya 14 April 2011 itu.

Berdasarkan laporan tahunan 2015, syarikat milik Huang, beliau didapati memiliki sebanyak 7,998,290 saham, atau hampir satu peratus dalam Jaya Tiasa Holdings Bhd. Syarikat itu mempunyai 1.76 juta ekar konsensi balak di Sarawak, dengan pendapatan tahunan RM750 juta, menurut Malaysiakini, semalam.

Meskipun Parti Rakyat Bersatu (UPP),  parti serpihan SUPP turut mengintai kerusi Repok, namun dari awal mereka sedar, sukar untuk mendapatkan kerusi berkenaan.

Sebab,  secara tradisi kerusi berkenaan merupakan antara satu daripada 19 kerusi asal parti tertua Sarawak itu. Dalam pilihan raya lalu, SUPP, bertanding di 19 kerusi dan tewas di 13 kerusi. Cabaran utama Adenan kali ini adalah untuk mendapatkan kembali kerusi majoriti Cina.

Namun, dijangka usaha itu bukan mudah walaupun populariti beliau  hampir mencecah awan, disebabkan perbalahan berlarutan antara SUPP dan UPP.

Perkembangan terbaharu, sebanyak mana kerusi diserahkan kepada SUPP dan UPP akan menentukan corak kempen dan tindakan mereka nanti. Tetapi, yang jelas, kata pemerhati politik, agihan kerusi dan calon langsung yang digunakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan, bukan jawapan muktamad.

Sebaliknya, kata mereka, jangan hairan akan berlaku pertembungan dan sabotaj-mensabotaj antara kedua-dua parti selepas hari penamaan calon nanti, yang dijangka 23 April, jika hari mengundi jatuh pada 7 Mei, seperti yang diramalkan sesetengah penganalisis politik.

Dengan 2,679 undi majoriti diperoleh calon DAP dalam pilihan raya lalu di kawasan ini, mungkinkah kerusi berkenaan bakal kembali kepada BN, apatah lagi, dengan kekuatan kewangan calonnya, segalanya adalah serba mungkin untuk memastikan kemenangan.

Pemerhati politik akar umbi berkata, dalam majlis dihadiri Adenan semalam, jumlah yang hadir mungkin bukan 10,000 seperti diuar-uarkan sesetengah pihak, tetapi jumlah berkenaan merupakan antara teramai pernah dianjurkan parti berkenaan dalam beberapa tahun terakhir terutamanya selepas pilihan raya 2006.

Adakah ini petunjuk bahwa pengundi Foochow di situ sudah beralih angin, dan ingin menyaksikan lebih banyak pembangunan yang sudah gagal dibawa DAP dalam tempoh lima tahun lalu?

-By Azlan Noor Adeli

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY