'/>

Penglibatan beberapa ahli politik pembangkang yang didakwa memalsukan kandungan laporan Sarawak Report mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didedahkan menerusi bahagian ketiga dan keempat video pengakuan bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao Krishnan berkata, bahagian ketiga dan keempat video itu akan disiarkan secara berperingkat dalam masa terdekat.

"Kita akan keluarkan video itu secara 'slowly' dan kita akan menjawab segala dakwaan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown. Selain itu, video tersebut akan mendedahkan orang Malaysia yang pernah berhubung dengan Lester seperti ahli-ahli politik pembangkang dan dalang kes Sarawak Report yang siap salur dan beri maklumat," katanya.

Ramesh Rao berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini berhubung pendedahan Melanyi menerusi bahagian kedua video itu.

Dalam video berdurasi 6.02 minit itu, Melanyi mendedahkan hampir 90 peratus kandungan laporan Sarawak Report mengenai syarikat pelaburan negara 1MDB itu didakwa diubah suai oleh pembangkang untuk memburukkan kerajaan dan menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam video itu, Melanyi turut menamakan seorang pakar pereka laman web berpangkalan di London yang didakwanya diupah Rewcastle-Brown bagi mengubah dan mereka e-mel serta perjanjian palsu sehingga kelihatan tulen.

Ramesh Rao seterusnya berkata, polis telah mengambil keterangannya susulan laporan polis yang dibuatnya bersama bukti keterangan Melanyi di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pada 15 Julai lepas, pada 8 malam hari yang sama.

Dalam pada itu, Ramesh Rao berkata, beliau mengenali Melanyi sejak dua bulan lepas mengenai pendedahan itu dan sering berhubung menerusi telefon serta berjumpanya di ibu kota dan di Sarawak.

Beliau juga yakin polis dapat merungkai segala persoalan termasuk pendedahan Melanyi yang mendakwa pernah bertemu bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.

Laporan media sebelum ini menyebut pemimpin pembangkang telah mengadakan pertemuan dengan Justo untuk membeli maklumat sulit berkaitan dengan projek usahasama PetroSaudi dengan 1MDB daripadanya untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Bruno Manser Fund (BMF) dalam satu kenyataan pada Selasa menyangkal kesemua dakwaan Melanyi dalam kenyataan videonya dan ia berhak untuk menyaman beliau kerana memfitnah.

BMF dalam jawapannya kepada pertanyaan Bernama dalam emel juga menyatakan bahawa Melanyi yang merupakan bekas editor Sarawak Tribune, tidak pernah diambil bekerja atau dibiayai oleh pertubuhan itu.

Mengenai hubungan BMF dan Sarawak Report, kumpulan pemuliharaan bukan berasaskan keuntungan berpangkalan di Switzerland itu berkata, ia bekerjasama rapat dengan Editor Sarawak Report, Rewcastle-Brown sebagai sebahagian daripada kempen 'Hentikan Rasuah Balak'.

"Bagaimanapun, Sarawak Report dan Radio Free Sarawak tidak dibiayai oleh BMF," katanya.

Melanyi dalam video klip kedua yang diperoleh oleh beberapa pertubuhan media  tempatan pada Isnin mendakwa BMF telah membayarnya melalui Rewcastle-Brown yang memasukkan wang ke dalam akaunnya untuk menyunting artikel berita bagi mencemar nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1MDB. - BERNAMA

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY