'/>
KUCHING 13 Ogos - Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak mengecam tindakan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang melemparkan tohmahan bahawa insiden kes tembak yang berleluasa di negara ini adalah sebahagian daripada sandiwara Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BNBBC Sarawak, Abdullah Saidol berkata, kenyataan Chieng Jen tersebut amat mengejutkan kerana secara tidak langsung menunjukkan beliau cetek akal fikiran selain gemar berprasangka buruk.

"Tuduhan ini sangat keji dan hina serta tidak matang.

"Perangai buruk ini sama macam seorang rakan beliau dalam PKR yang pernah menuduh insiden pencerobohan di Lahad Datu adalah tipu helah BN," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Chieng Jen menerusi laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Borneo Post hari ini mendakwa kes pembunuhan melibatkan senjata api dibiarkan berleluasa bagi membolehkan kerajaan BN menggubal undang-undang baharu menggantikan Ordinan Darurat (EO).

Undang-undang baharu itu kemudiannya akan disalahgunakan oleh para pemimpin atasan BN untuk menganiayai pembangkang.

Mengulas lanjut, Abdullah Saidol yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak berkata, tohmahan Chieng Jen menunjukkan budaya politik kotor pembangkang yang hanya mahu kuasa tanpa menghiraukan implikasi terhadap negara.

"Kejadian menghina agama dan sikap perkauman yang semakin menjadi-jadi terutama dalam kalangan generasi muda sekarang ini jelas dipengaruhi budaya politik yang diamalkan pembangkang ini," katanya.


Utusan

posted from Bloggeroid




posted from Bloggeroid
| Copyright © 2013 MERADONG TODAY