'/>

AWAL bulan ini, dunia antarabangsa dimeriahkan dengan berita Brunei Darussalam memulakan pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara itu.
Negara kesultanan yang terletak di wilayah utara Kalimantan itu secara rasmi menguatkuasakan hukum jenayah Islam sejak 1 Mei 2014 atau 1 Rejab 1435, sesuai dengan titah Sultan Hassanal Bolkiah yang disampaikan pada 30 April 2014 lalu.

Ini adalah penguatkuasaan Kanun Hukuman Jenayah Syariah fasa pertama, yang meliputi hukuman denda atau penjara atas pelanggaran seperti kehamilan di luar nikah, meninggalkan solat Jumaat dan mengajarkan agama tanpa izin. Tahapan kedua rencananya akan dikuatkuasakan sebelum akhir tahun ini, yang meliputi hukuman potong tangan bagi pencuri dan sebat bagi pemakai barang-barang yang memabukkan.
Sementara tahapan ketiga akan dikuatkuasakan 12 bulan kemudian, yang meliputi hukuman lebih berat lagi, seperti hukuman mati dengan cara rejam untuk perlakuan jenayah seperti homoseksual, sodomi dan perzinaan setelah menikah.
Dengan mulai berkuatkuasanya fasa pertama kanun jenayah syariah ini, maka Brunei telah menjadi negara pertama yang menerapkan hukum jenayah Islam di Asia Tenggara pada era moden ini.
Keputusan Brunei untuk menerapkan hukum jenayah Islam tentu tidak terlepas daripada kritikan. Sebelumnya, hari Khamis 8 Mei lalu, media-media internasional memberitakan adanya ancaman boikot daripada para selebriti Holywood terhadap jaringan hotel termasuk The Beverly  Hills Hotel yang dimiliki Sultan Hassanal Bolkiah.
Beberapa waktu sebelumnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat juga telah memberikan peringatan kepada Brunei agar menilai semula keputusan penerapan hukum jenayah Islam ini. Kesemuanya itu didasarkan pada alasan bahawa hukum jenayah Islam dianggap bertentangan dengan nilai-nilai hak asasi manusia (HAM).
Tentu, HAM yang dimaksud oleh Barat adalah HAM berdasarkan perspektif mereka.
Kesalahan Barat selama ini adalah memaksakan idea-idea mereka agar menjadi idea global dan harus diikuti oleh seluruh dunia, termasuk masalah HAM ini. Padahal, jika dinilai dengan lebih mendalam, HAM Barat memiliki banyak perbezaan dengan HAM dalam Islam.

HAM Barat lebih menitik beratkan pada sisi-sisi kebinatangan manusia, seperti kebebasan seks dengan siapa saja, termasuk sesama jenis. Ini terbukti dengan bentuk keberatan yang paling dipermasalahkan oleh AS dan PBB adalah hukuman rejam bagi penzina, pelaku homoseksual dan sodomi.
Islam memandang manusia sebagai makhluk terbaik ciptaan Tuhan. Sebagai makhluk terbaik, manusia diberikan hak-hak yang tidak diberikan kepada makhlukmakhluk lainnya, seperti disebut dalam al-Quran, surah al-Isra ayat 70.
Makhluk-makhluk yang lain mungkin hanya diberikan hak hidup sahaja. Tetapi manusia diberi hak hidup, hak berfikir, hak beragama, hak memiliki, dan hak untuk memanfaatkan dan mengeksplorasi alam untuk kepentingan mereka.
Dengan hak yang sedemikian istimewa, maka manusia harus mempunyai satu sistem untuk menjaga dan memeliharanya.
Jangan sampai ada yang menodai hak-hak tersebut, baik menodainya dengan diri sendiri atau dinodai oleh orang lain.
Di sinilah Allah sebagai pemberi hak-hak tersebut “campur tangan” untuk menjaganya. Hukum-hukum dalam Islam, tidak lain adalah salah satu cara Allah – setelah memberikan hak-hak istimewa kepada manusia–untuk menjaga hak-hak tersebut.
Hukum Islam ditetapkan bukan untuk menyeksa manusia. Hukuman yang tegas dimaksudkan untuk memberikan kesan pencegahan kepada pelaku dan ketakutan kepada orang lain. Dengan kesan pencegahan tersebut, maka diharapkan akan lahir ketenangan dan rasa aman antara para anggota masyarakat.
Dari sinilah landasan awal lahirnya kehidupan bermasyarakat yang aman, damai, sentosa dan sejahtera.
Dengan demikian, maka hukum Islam sejatinya sangat humanis. Hukum Islam tidak diturunkan kecuali untuk kebaikan manusia. Menjaga hak-hak asasi mereka. Hak beragama (hifdzuddin), hak berpikir (hifdzul ’aql), hak berketurunan (hifdzunnasl), hak hidup (hifdzunnafs), dan hak kepemilikan (hifdzul mal).
Selama ini, yang sering dipersepsikan sebagai contoh negara yang menerapkan hukum Islam secara penuh adalah Arab Saudi. Namun, Saudi yang mengikuti mazhab fekah Hambali dan mazhab akidah Wahabi memberikan stigma sebagai negara yang kaku dan rigid.
Sama ada disedari atau tidak, keadaan ini menimbulkan suatu pemikiran bahawa seperti itulah jika hukum Islam ditegakkan di suatu negara. Sehingga ada kesan, hukum Islam dipersepsikan sebagai sebuah hukum yang sadis dan ganas.
Sedikit-sedikit serba haram, bid’ah atau potong tangan. Belum lagi kedudukan geografi Saudi yang berada di kawasan Asia Barat, di mana berdekatan dengan sumbersumber konflik global seperti Palestin, Iraq, Syria dan Mesir, memberikan persepsi bahawa ajaran Islam seakan-akan jauh dari nilai-nilai perdamaian.
Tentu ini berbeza dengan Brunei Darussalam.
Brunei mengikuti mazhab fekah Syafie yang terkenal sangat lentur dan adaptif terhadap adat-istiadat dan kemaslahatan setempat. Mazhab akidah yang diikuti Brunei juga Asy’ari yang cukup terbuka dengan penalaran akal.
Belum lagi, kedudukan geografi Brunei yang berada di Asia Tenggara dengan tradisi Melayunya dicitrakan sebagai bangsa yang ramah, damai dan jauh dari zon konflik global.
Dari sinilah penerapan hukum Islam di Brunei boleh menjadi pertaruhan bagi masa depan hukum Islam. Jika berhasil membawa kemajuan, keadilan, keamanan dan kesejahteraan, maka Brunei dapat menjadi alternatif baharu bentuk negara Islam selain Arab Saudi atau Pakistan yang sering bergejolak.
Jauh dari zon konflik global memberikan peluang bagi Brunei untuk mensinergikan ajaranajaran Islam dan nilai-nilai kedamaian.
Jika berhasil, Brunei akan menjadi prototaip baharu bagi penerapan hukum Islam dalam era moden ini. Dan itu boleh jadi akan menarik perhatian negara-negara Islam lain untuk mengikutinya.
Selain itu, doktrin bahawa ajaran Islam tidak hanya terbatas pada masyarakat Arab, tetapi untuk semua umat manusia di seluruh penjuru tempat tidak akan lagi dapat dinafikan. Di sinilah kenapa respon Barat, aktivis HAM nampak begitu ketakutan mendapatkan Brunei menerapkan hukum jenayah syariah ini.

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY