'/>

CYBERJAYA: Lebih 70 peratus daripada 900,000 pemohon baharu yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 3.0) pada 2014 masih belum mendaftar, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. "Saya menyeru mereka yang layak untuk segera mendaftar dan mengemas kini maklumat sebelum 31 Jan ini bagi memudahkan mereka untuk turut menerima perlindungan caruman takaful i-BR1M," katanya. Berhubung caruman takaful i-BRIM, beliau berkata kerajaan sedang memperhalusi perlindungan insurans dengan Bank Negara Malaysia dan beberapa syarikat insurans untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Beliau meminta penerima BR1M 3.0 tidak melewat-lewatkan pendaftaran selain berharap agar kerajaan tidak melanjutkan tarikh pendaftaran itu. "Sepatutnya rakyat telah belajar melalui BR1M 1.0 dan 2.0 dan tidak perlu memohon tarikh lanjutan kerana ini kali ketiga BR1M diagihkan," katanya dalam sidang media selepas melawat kaunter BR1M di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cyberjaya pada Jumaat. Ahmad berkata sekiranya penerima melewat-lewatkan proses pendaftaran kesannya kemungkinan perlindungan insurans i-BR1M tidak dapat diperoleh yang mana tempoh perlindungannya bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2014.

Beliau berkata kerajaan menjangkakan untuk tahun ini 7.9 juta rakyat layak menerima BR1M 3.0 dengan peruntukan RM4.5 bilion berbanding RM3 bilion untuk BR1M 2.0. "Jumlah 7.9 juta ini termasuk 6.8 juta penerima sedia ada dan 900,000 pemohon baharu serta 200,000 'buffer' bagi pemohon yang baru memasuki umur 21 tahun serta mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah untuk tahun ini," katanya. Namun, kata Ahmad, hanya 4.4 juta daripada 6.8 juta penerima sedia ada telah mengemas kini maklumat nombor akaun bank, manakala 2.4 juta lagi masih belum berbuat demikian. "Sehubungan itu, saya memohon agar penerima BR1M dapat mengemas kini maklumat nombor akaun bank mereka bagi memudahkan urusan," katanya sambil menambah agihan pembayaran BR1M akan dibuat kepada mereka yang layak mulai Februari.

Melalui Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lepas, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah layak menerima BR1M RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50. Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,001 hingga RM4,000 turut layak menerima sejumlah RM450 serta caruman takaful RM50 dan bagi individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000 juga layak menerima RM300. - BERNAMA

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY