'/>
KUALA LUMPUR – Polis dalam siasatan awal mereka tidak menolak kemungkinan dendam peribadi terhadap keluarga Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang menjadi punca kanak-kanak kecil yang tidak berdosa itu dibunuh dan dibakar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam kenyataan yang dikeluarkan pukul 6 petang ini berkata, siasatan sedang dilakukan dari semua sudut untuk memastikan motif di sebalik penculikan dan pembunuhan kanak-kanak itu dapat dikenalpasti.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa dendam peribadi terhadap keluarga tersebut menjadi motif di sebalik penculikan dan pembunuhan ini,” katanya di sini hari ini. Dirang dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam pada 1 Mac lalu.

Mayat Dirang (disahkan melalui ujian DNA) ditemui pada 8 Mac lalu di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, dekat Seri Alam, Johor.
Setakat ini, empat suspek telah ditahan polis Johor.
Tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi.
“Bantuan segera daripada masyarakat telah membolehkan pihak polis menangkap tiga orang suspek beberapa jam selepas laporan kehilangan Nur Nadirah dibuat.
“Suspek keempat juga telah ditahan beberapa hari kemudian. Dengan empat penangkapan ini, kami percaya bahawa polis berada di landasan yang betul untuk menyelesaikan kes ini,” katanya.
Beliau menambah, Nur Alert telah diaktifkan sebaik pihaknya menerima laporan daripada nenek Dirang dan pihak pertubuhan bukan kerajaan dan Bank RHB telah bersama membantu polis mengesan Allahyarham Dirang.
Dalam kenyataan yang sama, beliau juga merakamkan rasa simpati yang tidak terhingga dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kepada keluarga Allahyarham di atas pemergiannya.


- http://www.harian-metro-online.com/polis-dendam-peribadi-mungkin-motif-nurul-nadirah-dibunuh

posted from Bloggeroid

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY