'/>

ENAM JAHITAN AKIBAT DITUMBUK

  • Enam jahitan akibat ditumbukKecederaan dialami Abdul akibat tumbukan berkenaan.
 1 / 2 
KUALA PILAH – Seorang warga emas menerima enam jahitan di muka akibat ditumbuk seorang ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) dalam kejadian Ahad lalu.

Mangsa, Abdul Idris, 70, yang juga bekas tentera mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, sebelum menerima jahitan di bawah bibir selepas berlaku perang mulut dan pergaduhan di sebuah kedai makan di Taman Ampangan, dekat Seremban.

Menurut Abdul, dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, dia bertemu AJK terbabit yang berusia 50-an untuk bertanyakan status permohonan kad keahlian persatuan berkenaan milik abangnya, Mohd Yusof, 73.

"Saya berjumpa dia di kedai makan itu untuk bertanyakan status kad milik abang saya kerana telah membuat bayaran RM60 pada 9 September tahun lalu.

“Tapi, saya terkejut apabila dia memberi amaran supaya jangan mencampuri urusannya. Saya akui ada berlaku perang mulut antara kami tetapi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, saya mengalah untuk beredar dari situ," katanya.

Menurutnya, disebabkan rasa tidak puas hati dan berang, AJK berkenaan telah mengejarnya dari belakang, lalu melepaskan tumbukan dari luar keretanya dan tepat mengenai bibir.

“Bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku, saya segera beredar dari kedai itu,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Limau, Terachi, dekat sini semalam.

Sejurus kejadian itu, Abdul kemudian membuat laporan di Balai Polis Paroi, kira-kira 10.35 pagi pada hari yang sama.

Menurutnya, selepas insiden itu, saya kini trauma dan sudah tawar hati untuk menjadi ahli persatuan berkenaan.

“Memang saya ada niat untuk menjadi ahli PVTTB, tetapi memandangkan insiden ini telah berlaku, saya kuburkan sahaja niat itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden PVTTB Malaysia, Mohd Sabri Abdul Malek menyifatkan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia melanggar undang-undang.

“Sewajarnya AJK berkenaan mengawal emosi dan berfikir sebelum bertindak secara melulu. Bagaimanapun, kata-kata provokasi yang dilemparkan Abdul memburukkan imej persatuan juga tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh seminggu kepada AJK terbabit untuk menghantar laporan bertulis kepada persatuan dan akan memanggil kedua-duanya untuk mendapatkan kepastian perkara sebenar.SH

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY