'/>

Pilihanraya Dun Selangor?

Tan Sri Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor buat masa ini walaupun dipecat dari PKR, tetapi penyingkirannya dari parti boleh membawa kepada beberapa kemungkinan, termasuklah pilihan raya negeri diadakan.

Terdapat juga kemungkinan beliau akan menyertai PAS, yang telah menyokong beliau untuk kekal sebagai Menteri Besar, berserta sokongan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Peguam Syahredzan Johan berkata gabungan parti politik tidak mempunyai sebarang kesan terhadap kedudukan seorang Menteri Besar memandangkan keputusan mengenai jawatan itu bergantung kepada sokongan daripada majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Perkhidmatan awam negeri juga tidak akan terjejas dengan pemecatan Khalid dari PKR, tetapi akan ada ketidakpastian di peringkat atas pentadbiran,” kata Syahredzan.

Beliau berkata ini kerana barisan ahli exco Khalid, turut termasuk dari PKR, parti yang telah memecat beliau.

“Jadi persoalannya adalah, adakah ahli exco dari PKR akan terus mengikut arahannya?” katanya.

Syahredzan berkata dengan pemecatan Khalid, PKR akan berusaha untuk memastikan bahawa beliau juga telah kehilangan sokongan daripada DUN, satu keperluan penting untuk menyingkirkannya dari pejabat Menteri Besar.

Beliau berkata ini boleh dilakukan dengan memanggil undi tidak percaya dalam DUN atau mengemukakan petisyen sumpah oleh ahli-ahli DUN bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

“Jika boleh dibuktikan bahawa Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti, beliau boleh sama ada meletakkan jawatan atau meminta Sultan membubarkan DUN untuk membuka jalan bagi pilihan raya negeri diadakan,” kata Syahredzan.

Syahredzan berkata Khalid juga boleh mencabar pemecatan beliau di mahkamah dan ia terpulang kepada hakim yang mendengar kes itu untuk mentafsir undang-undang, walaupun Akta Pertubuhan telah dipinda supaya keputusan yang dibuat oleh parti politik tidak boleh dicabar.

Pindaan dibuat terhadap Akta itu selepas Umno diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 1988 berikutan pertikaian dalaman.

Edmund Bon, dari firma undang-undang yang mewakili Khalid, enggan mengesahkan sama ada Khalid akan mencabar penyingkiran beliau di mahkamah.

“Tunggu dan lihat,” katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) berkata Khalid masih boleh mendapat sokongan majoriti daripada DUN dan mendapatkan restu Sultan untuk kekal di pejabatnya walaupun dipecat dari PKR.

Mustafa berkata, di bawah senario ini, adalah mungkin Khalid akan menyertai PAS.

“Ia matematik yang mudah. Dia mungkin akan menyertai parti dengan paling banyak kerusi,” kata Mustafa.

Sebelum pemecatan Khalid, PAS dan DAP kedua-duanya mempunyai 15 kerusi di DUN, PKR 14 dan Umno 12.

Penyokong Khalid percaya bahawa BN dan wakil PAS akan menyokongnya jika usul tidak percaya dibentangkan.


No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY