'/>

Kerajaan perlu komited bendung kebanjiran pendatang asing tanpa izin-Tun Taib

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud mahu kerajaan lebih komited dalam membendung kemungkinan kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negeri ini.

Berucap ketika merasmikan pembukaan sesi kelima persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 di sini Selasa, beliau berkata kepesatan pembangunan negeri ini dan kekayaan sumber aslinya menjadi tarikan kepada mereka untuk mencari pekerjaan, menjalankan perniagaan dan tinggal di sini.

"Kedatangan mereka mesti dikendalikan dengan sepenuh komitmen memandangkan mereka boleh mengancam kedaulatan negeri ini dan menimbulkan kebimbangan serta ketakutan dalam kalangan masyarakat.

"Ketakutan dan kebimbangan ini adalah berasas memandangkan pendatang tanpa izin seringkali dikaitkan dengan jenayah dan masalah sosial," katanya.

Taib berkata keselamatan dan ketenteraman awam perlu diberi keutamaan agar tidak merencatkan usaha untuk menjadikan Sarawak negeri yang progresif serta makmur.

Dalam hubungan ini, beliau mencadangkan agar pemantauan dan pengerahan tenaga manusia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya untuk memperkukuhkan semua usaha penguatkuasaan.

"Agensi penguatkuasaan perlu melaksanakan operasi bersepadu dengan sepenuh komitmen untuk menangani masalah ini dengan lebih berkesan," katanya.

Tentang pembangunan, Taib berkata Sarawak masih memerlukan peruntukan dana yang besar untuk melaksanakan lebih banyak program dan projek pembangunan bagi meningkatkan tahap hidup rakyat.

"Tahun ini adalah tahun akhir bagi pelaksanaan projek mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Saya harap semua projek di bawah rancangan ini boleh dilaksanakan mengikut jadual dan bagi projek yang masih belum selesai, ia boleh diteruskan mengikut Rancangan Malaysia ke-11, iaitu rancangan lima tahun yang terakhir sebelum kita mencapai status negara maju menjelang tahun 2020," katanya.

Beliau yakin dengan adanya hubungan yang sangat baik antara kerajaan negeri dan persekutuan, semua perancangan dapat dilaksanakan dalam usaha memacu pertumbuhan negeri ini.

Berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, Taib berkata ia adalah usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih kondusif agar ekonomi negara kekal kukuh serta dinamik.

- BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY