'/>

Lembaga Tabung Haji perlu dipisahkan dari Politik dan orang politik

Berhubung isu terkini mengenai pelaburan penuh kontroversi LTH dengan membeli hartanah 1MDB yang masih di dalam penyiasatan, ianya adalah disebabkan oleh penglibatan orang politik di dalam pentadbiran tertinggi LTH itu sendiri.

Hal ini amat berkait rapat dengan kedudukan YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan ahli parlimen UMNO sebagai pengerusinya. Perlantikan orang politik sebagai pegerusi LTH hanya menimbulkan situasi 'conflict of interest' di dalam pentadbiran dan halatuju LTH itu sendiri. Malah, kewujudan orang politik sebagai pengerusi LTH akan hanya menimbulkan kesangsian dan keraguan para pencarum terhadap tatakelola institutsi berkenaan.

Adalah tidak wajar bagi sesebuah institusi kewangan Islam yang memegang amanah para jemaah haji dari seluruh negara dipengerusikan oleh orang politik yang dilantik, di mana beliau akan dilihat sebagai mewakili kepentingan parti yang diwakilinya berbanding kepentingan para pencarum. LTH sepatutnya dipengerusikan oleh tokoh-tokoh korporat berjiwa Islami bebas politik yang telah terbukti kemampuannya dan mempunyai rekod yang diperakui oleh semua pihak.

Hal ini akan lebih membawa keluwesan di dalam tatatkelola institusi berkenaan, sekaligus menepati aspirasi pentadbiran dan tatekelola Islami selaras dengan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan Islam.

Seorang ulama Islam klasik, Ibn Taimiyah (mati 1328M) pernah menyentuh mengenai isu tatakelola ini di dalam karyanya berkaitan politik yang berjudul 'al-Siyasah al-Syar'iyyah'. Di dalam buku tersebut, Ibn Taimiyah mengingatkan para penguasa agar tidak melantik seseorang ke jawatan yang melibatkan kepentingan awam dan kepentingan kaum Muslimin berdasarkan favoritism, samada kerana hubungan kekeluargaan, sahabat handai, saudara mara, dari sesama kumpulan ataupun fahaman politik. Perlantikan secara favoritism serta mengenepikan orang lain yang lebih layak sedemikian menurut Ibn Taimiyah adalah pengkhianatan terhadap Allah, Rasul dan kaum Muslimin. Hal tersebut telah disebutkan oleh Saidina Omar dan juga oleh Rasulullah SAW sendiri.

Ulama terkenal, dan bapa sosiologi Islam dari Afrika Utara, Ibn Khaldun (mati 1406M) di dalam magnum Opus beliau, 'al-Mukaddimah' juga ada menyentuh berkaitan keruntuhan sesuatu tamadun ialah apabila golongan pemerintah sibuk berniaga dan mencampuri urusan perniagaan dengan menggunakan jawatannya. Pihak politik, terutamanya pihak pemerintah sepatutnya tidak mencampuri urusan perniagaan yang sepatutnya menjadi ruang kepada pasaran dan masyarakat. Penglibatan aktor politik hanya akan menimbulkan suasana conflict of interest dan menyumbang kepada bad governance ataupun tatakelola yang buruk.

Hal ini amat signifikan dengan apa yang berlaku kepada LTH. Isunya bukan kerana faktor YB Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai individu, isunya ialah sistem tatakelola LTH sebagai pemegang amanah kepada caruman umat Islam seMalaysia. LTH sepatutnya menjadi sebuah institutsi bebas politik di dalam pentadbiran dan pengurusannya. LTH tidak patut dipengerusikan oleh mana-mana individu politik, apatah lagi dari pihak pemerintah.

Berdasarkan kesedaran ini, situasi panik para pencarum dek kebocoran dokumen transaksi yang penuh kontroversi dan juga kenyataan flip flop oleh pengerusi LTH perlulah diselesaikan secepat mungkin demi mengelakkan keresahan dan kepanikan berterusan para pencarum Tabung Haji dari seluruh Malaysia. Pihak yang bertanggungjawab terlibat di dalam urusan tersebut perlu disiasat dengan telus dan jika mereka mempunyai integriti, mereka hendaklah meletakkan jawatan jika benar berlakunya transaksi kontroversial dan penuh risiko berkait 1MDB yang sedang disiasat sekarang ini. Pengerusi LTH juga perlu digantikan serta merta dengan individu bebas politik demi memulihkan keyakinan para pencarum sebelum majoriti pencarum membuat keputusan drastik secara kolektif yang kelak akan menjejaskan institutsi kewangan Islam tertua di negara ini.

Dr Maszlee Malik
Presiden
Academic Staff Association (ASA) 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY