'/>

‘Remote Control’ PKR Sudah Di Tangan Guan Eng

1. Tahap licik DAP memang kelas satu. Tiada siapa boleh lawan. Apabila dilantik Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik kepada Setiausaha Agung DAP, sudah pasti telah ada percaturan dalam kepala Lim Guan Eng.

2. DAP tidak mahu lagi pisang berbuah dua kali. Sudah dua penggal DAP menanti dalam percubaan besarnya untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Sejak pilihan raya umum (PRU) 2008, diikuti PRU 2013, DAP menjadi rakus untuk berkuasa dengan menjadikan sekutu-sekutunya dalam pakatan sebagai boneka.

3. Malangnya, walaupun DAP merajai dari segi pungutan kerusi pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2013 dengan kedudukan 38 mengatasi 30 PKR dan 21 Pas, namun DAP acap kali gagal dalam pasca atau menjelang pilihan raya umum kemudiannya.

4. Ini kerana DAP gagal mengemudi hubungannya dengan sekutu-sekutu pakatan. Dengan Pas, dek kerana sikap gelojoh, terburu-buru, tiada budi pekerti atau memang dalam perut sudah ada aura cauvinisnya, DAP sanggup menjadikan Pas  hanya melukut di tepi gantang.

5. Bab yang sukar dilupakan oleh ahli dan pengikut Pas ialah apabila Guan Eng menjatuhkan maruah presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan memutuskan hubungan  dengan presiden itu, tetapi peliknya tidak dengan Pas secara keseluruhannya. Namun percubaan dangkal Guan Eng ini tidak menjadi. Ahli Pas tidak sesekali menderhakai ketuanya.

6. Bab keduanya ialah apabila DAP gagal untuk mempengaruhi keputusan pelantikan menteri besar Selangor. Setelah Khalid Ibrahim disingkirkan, DAP berpakat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah  Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.

7. Namun yang terpilih adalah Azmin Ali. Semua maklum hubungan Guan Eng-Azmin tidak beberapa molek. Dingin  di belakang kamera. Ini terutama setelah Azmin menolak rancangan Guan Eng supaya Pulau Pinang mengadakan pilihan raya negeri lebih awal dalam menguji sokongan rakyat negeri itu terhadap dirinya yang berdepan tuduhan rasuah pembelian banglonya.

8. Maka, pelantikan Saifuddin Nasution adalah tepat untuk memastikan penguasaan PKR oleh DAP.

9. Cuba bayangkan, bukankah jawatan Setiausaha Agung sesebuah parti itu penting? Bukankah Setiausaha Agung bertanggungjawab menyimpan rahsia strategi parti dan semua pergerakan pemimpin-pemimpin kanan termasuk Presiden dan timbalan presiden.

10. Ini ditambah lagi dengan hubungan suam-suam kuku antara Wan Azizah-Azmin, yang akan memudahkan lagi Guan Eng menggerakkan remote controlnya terhadap PKR.

11. Pelantikan Saifuddin Nasution sebagai penasihat strategik akan membolehkan Guan Eng mencatur senarai calon pakatan pembangkang kelak. Rahsia PKR akan dikongsinya dan dicaturkan. Kedudukan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang hitam, kelabu dan putih akan membolehkan DAP mencatur persaingannya di kerusi yang selamat termasuklah meletakkan calon Melayunya nanti.

12. DAP tidak mahu pisang berbuah dua kali di bumi Sarawak Mei lalu yang menyaksikan pertembungan calon PKR dan DAP di kerusi-kerusi yang bertindih berdepan BN. Misi, visi, strategi, formula PKR tidak lagi suatu rahsia kepada DAP dengan Saifuddin Nasuition kini berada dalam genggaman Guan Eng.

http://klxpress.com.my/editorial/21096-remote-control-pkr-sudah-di-tangan-guan-eng.html

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY