'/>

Kita di Sarawak tidak memerlukan orang seperti Guan Eng atau DAP-Abdullah Saidol

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Abdullah bin Haji Saidol berkata Guan Eng dan DAP kini terdesak untuk mendapatkan kuasa biarpun terpaksa menggunakan cara kotor dengan melontarkan seberapa banyak janji palsu kepada rakyat di Sabah dan Sarawak ini biarpun  mereka mengetahui adalah sukar untuk mereka melaksanakannya.

"Sarawak yang kini dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Abdul Rahman Johari bin Tun Datuk Abang Openg dan pasukannya lebih mengetahui apa yang perlu dan dikehendaki untuk rakyat Sarawak.

"Begitu juga BN Sarawak yang kini telah bersedia untuk menyampaikan segala dasar dan aspirasi kerajaan kepada rakyat.

"Justeru, kita di Sarawak tidak memerlukan orang seperti Guan Eng atau DAP untuk memberitahu apa yang perlu kita lakukan sebaliknya mereka ini kecewa melihat apa yang Sarawak telah ada di bawah pentadbiran BN," katanya kepada media sebagai membalas kenyataan Guan Eng berhubung akan mengkaji semula cukai 50 peratus ke atas Sabah dan Sarawak sekiranya mereka menang pada PRU-14 nanti yang disiarkan di dalam portal propembangkang.

Dalam pada itu, Abdullah juga memberitahu Abang Jo tidak sesekali akan mengabaikan misi yang ditinggalkan Allahyarham Tok Nan sebaliknya akan meneruskan legasi itu dengan mempercepatkan segala tindakan mengikut acuan sendiri demi kepentingan rakyat Sarawak.

"Ini merangkumi aspek penurunan kuasa pentadbiran dan menyuntik lebih banyak dana ke tabung negeri yang menjadi keutamaan Ketua Menteri Sarawak sekarang.

"Sehubungan itu, Guan Eng dan DAP perlu segera menghentikan penipuan dan tindakan mengelirukan ini terutama kepada rakyat di Sabah dan Sarawak," katanya.

Guan Eng sebelum ini telah dikritik hebat oleh rakyatnya sendiri apabila gagal dalam mengotakan semua janji yang dijanjikan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Ini merangkumi pengisytiharan aset yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen, polisi perumahan mampu milik, memansuhkan tol, membatalkan bayaran parkir kereta pada waktu petang dan hujung minggu, menghentikan rasuah kerajaan tempatan, menyokong kebebasan media, pelantikan secara meritokratik untuk jawatan kerajaan dan GLC negeri, Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kerajaan Tempatan tidak dibuka kepada orang ramai, tiada siaran langsung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan banyak lagi.

"Sebaliknya tindakan mereka di Pulau Pinang adalah bertentangan dengan apa yang pernah mereka janjikan sebelum ini," ujarnya lagi.

Sementara itu, DAP kini sedar betapa kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak amat penting jika mereka ingin menawan Putrajaya dalam PRU-14 akan datang.

Atas sebab itu, mereka akan berbuat apa sahaja termasuk membohongi rakyat yang semenangnya menjadi amalan mereka biarpun terpaksa membuat muka tebal.

Mengulas mengenai ekonomi sekarang, jelas Abdullah kita tidak boleh mengawal ekonomi global tetapi saya percaya setiap negara di dunia kini sedang menghadapi masalah yang sama dan berusaha ke arah mengurangkan tekanan ekonomi.

"Saya bersetuju dengan kritikan membina dan cadangan beberapa pihak yang ingin melihat kerajaan mengukuhkan sistem pentadbiran, tadbir urus dan integriti.

"Bagaimanapun, orang ramai perlu berfikiran munasabah dengan memberi jaminan bahawa kerajaan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyatnya termasuk pembangunan di kawasan luar bandar.

"Rakyat kini mahu melihat siapa yang mempunyai "kesungguhan politik, keinginan dan kebolehan dalam melaksanakan" secara ikhlas untuk rakyat, selain ke arah memahami wawasan generasi muda,"katanya lagi.

Untuk itu, retorik-retorik politik yang cuba dibawa Guan Eng dan DAP ini tidak akan berfungsi sebaliknya orang ramai akan menilai mereka yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat demi kesejahteraan masa depan.

Klxpress Sarawak

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY