JABATAN PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA:
Mana ada 400 kamera AES
Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan isu yang tular di media sosial baru-baru ini mengenai pemasangan 400 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.
JPJ dalam kenyataan berkata, setakat ini, JPJ sudah memasang 14 kamera AES sahaja di seluruh Semenanjung Malaysia, dan akan menambah pemasangan kamera ini dari semasa ke semasa.
Katanya, lokasi kamera berkenaan yang bertujuan mengesan had laju adalah di Kilometer (KM) 375.9 Lebuhraya PLUS-Slim River (Arah Utara); KM 7 Jalan Maharajalela-Teluk Intan (arah ke Bagan Datoh); KM 91 Jalan Ipoh-Butterworth (arah ke Selatan)
; KM 85.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (arah ke Selatan)
; KM 6.6 SKVE (Puchong ke Kajang); dan Jalan Lebuh Sentosa, Putrajaya (Kajang menuju ke PICC); Jalan Persiaran Timur, Putrajaya (PICC menuju ke Kajang); KM D7.9, Sungai Besi, Kuala Lumpur (arah ke Selatan); KM 301.6 Lebuhraya PLUS-Kajang (Arah ke Utara).
Sementara kamera AES di kawasan lampu isyarat adalah KM 26 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar (persimpangan Kg Kerdah); Jalan Pasir Putih-Ipoh (Persimpangan Jalan Temenggung, Jalan King); Jalan Ipoh, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Perhentian,Sentul) dan Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur (Persimpangan Jalan Sepadu).
Selain itu, katanya, JPJ turut menafikan pemandu yang melanggar lampu isyarat kuning akan dikenakan mata demerit.
"Mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), pengguna jalan raya hendaklah
mematuhi lampu isyarat dan sekiranya gagal, pemandu boleh dikompaun tidak kurang RM300 dan tidak lebih dari RM2,000.
"Ketika ini, pemberian mata demerit ini hanya diberikan kepada pemandu yang melakukan dua kesalahan jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju selepas pemandu membayar kompaun kesalahan itu,"katanya.
Baru-baru ini satu rakaman suara seorang lelaki menular di rangkaian media sosial berkenaan mana-mana pemandu yang melanggar lampu isyarat kuning akan dikenakan mata demerit dan pemasangan 400 kamera AES.
Kredit : Harian Metro
No comments: