'/>

Umur, Prestasi dan Laporan Agensi Penentu Siapa Calon BN Sarawak Dalam PRU14 — Abang Jo

KUCHING: Faktor umur, prestasi dan maklum balas pelbagai agensi adalah antara perkara yang diambil kira sebagai calon Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14, akui Pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam pertemuan eksklusif dengan sarawakvoice.com sempena setahun pentadbirannya, Abang Johari mengakui akan ada penyandang kerusi termasuk daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan digugurkan.

“Kita perlu kepada muka baharu kerana kita berada proses transformasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, proses pemilihan calon masih berlangsung dan belum muktamad, kerana proses “imbas dan periksa” latar belakang calon masih berlangsung.

Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Mohd Najib Razak sebelum ini membayangkan calon-calon yang disenaraikan BN, baik mula lama mahupun baharu, perlu bersih daripada pelbagai isu seperti muflis, rasuah, jenayah, kewarganegaraan dan sebagainya.

“Era atau umur juga perlu diambil kira kerana kita mahu calon tersebut mampu mendokong apa yang kita gagaskan hari ini.

Ditanya bila senarai akan dimuktamadkan, beliau mengakui terpaksa menunggu sehingga tarikh pengumuman calon, kerana berdasarkan pengalamannya, sesuatu boleh berubah pada “saat akhir”.

“Tetapi secara kasarnya, sudah ada,” katanya lagi sambil mengakui belum memaklumkan kepada individu terlibat bahawa mereka akan digugurkan.

Mengenai sasaran kemenangan pada “hari penting” itu kelak, beliau mengakui sekurang-kurangnya adalah status quo atau mengekalkan kerusi yang ada.

“Tetapi berdasarkan maklumat yang kita perolehi, termasuk laporan pelbagai pihak, kita akan dapat merampas sekurang-kurangnya dua ke tiga kerusi,” jelasnya.

Mengenai krisis Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau mengakui telah “memiliki formula” untuk menanganinya.

“Saya tidak terlalu yakin, tetapi akan cuba. Kita akan lakukan campuran komponen dan sebatian untuk menghasilkan tindak balas kimia yang betul.

“Pada tahun 2018…dari sudut politik, kita mahu kemenangan yang bergaya,” tambahnya lagi.

Ini merupakan kali pertama Abang Johari memimpin pilihan raya besar sebagai Ketua Menteri.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, BN Sarawak menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertanding.

Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen, dengan 25 daripadanya milik BN.

Portal ini sebelum ini meramalkan sekurang-kurangnya 14 muka baharu akan diturunkan BN Sarawak pada PRU kali ini. — Sarawakvoice

#TeamAbgJo

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY