'/>

Belum ada keputusan permohonan sertai PBB

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sehingga kini belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan menyertai parti daripada sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga calon langsung BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.

Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia hanya diputuskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB diadakan dan permohonan adalah perlu melalui prosedur.

“Kita belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini sehingga mesyuarat MT diadakan dan mereka juga perlu melalui proses atau prosedur untuk memohon menyertai parti.

“Bahkan permohonan menyertai parti juga harus diterima semua pemimpin akar umbi serta ranting parti di seluruh negeri,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau yang juga setiausaha agung BN Negeri semalam menerima kunjungan daripada rombongan bekas pemimpin akar umbi TERAS yang turut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Pelaburan dan Promosi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol di ibu pejabat PBB di sini.

“Kunjungan ini hanya oleh sekumpulan individu bertujuan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan prosedur menyertai parti,” kata Rundi yang juga Menteri Kemudahan Awam.

Dalam pada itu antara sembilan ADUN yang memohon menyertai PBB ialah Tan Sri William Mawan Ikom (Pakan), Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu), yang sebelum ini merupakan pemimpin TERAS.

Selain itu turut memohon menyertai PBB ialah bekas pemimpin UPP iaitu Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili).

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY