'/>

Tiada Menteri Baru dari Sarawak sebagai mengecewakan

PETALING JAYA: Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Madya Jeniri Amir menyifatkan tiadanya menteri baru dari Sarawak dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini sebagai mengecewakan.
Apatah lagi selepas Barisan Nasional (BN) Sarawak mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mei lalu, kata penganalisis politik itu lagi.
“Berdasarkan kuota, sepatutnya pemimpin dari Sarawak yang menggantikan Datuk Seri Douglas Uggah Embah (yang bersara), lebih baik lagi jika pengganti itu pemimpin Dayak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu.
“Kecewa adalah sentimen di sini (Sarawak) yang mengharapkan ada penambahan menteri daripada Sarawak. Tetapi (rombakan) seperti tidak mengiktiraf pencapaian cemerlang BN Sarawak pada PRN lalu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata ramai yang menjangka Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh berdasarkan kuota negeri, namun perkara itu tidak berlaku.
Selain tiada penambahan menteri, negeri itu juga kehilangan satu kedudukan menteri apabila portfolio Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang dipegang Ahli Parlimen Betong, Datuk Seri Douglas Uggah Embah, digantikan dengan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong.
Dalam rombakan yang diumumkan Najib tadi, Datuk Abdul Rahman Dahlan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU), manakala portfolio terdahulu beliau – Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan – dipegang Tan Sri Mohamad Nor Omar yang kembali ke Kabinet.
Jeniri menyifatkan rombakan hari ini langkah Najib mengukuhkan kedudukan kerajaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kedudukan strategik diberikan kepada orang yang setia kepadanya seperti Noh dan Rahman. Ini strategi beliau menghadapi PRU akan datang, termasuk merampas kembali Selangor daripada pembangkang,” katanya merujuk kepada kedudukan Noh selaku pengerusi BN Selangor.
Beliau berkata, hakikat tiadanya tambahan menteri dari Sarawak sudah dimaklumi Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan tidak akan mengeruhkan hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Hal ini pasti sudah dibincangkan kedua-dua pihak. Saya fikir Adenan sudah tahu,” katanya lagi.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY