'/>

Beri Keutamaan Kepada Sarawak terokai Industri Minyak Dan Gas

Sarawak mahu keutamaan diberi kepada penduduk dan syarikat tempatan negeri ini terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas seperti dipersetujui kerajaan negeri dan Petronas sebelum ini.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar  Awang Tengah Ali Hasan berkata kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan dari segi kontrak bernilai RM2.1 bilion yang harus diberi kepada syarikat dari Sarawak.
Katanya kuota gas juga ditambah bagi membolehkan Sarawak mempergiat industri hiliran berasaskan minyak dan gas dan membangunkan industri petrokimia.

“Banyak cadangan diwujudkan untuk Sarawak memanfaatkan industri minyak dan gas termasuk mengadakan peluang perniagaan, kontrak-kontrak dalam minyak dan gas diberi keutamaan kepada syarikat Sarawak.
“Selain itu, kita juga bercadang menubuhkan syarikat milik penuh kerajaan yang terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas dan banyak cadangan telah dibuat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Raya anjuran Lembaga Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Limbang Junidi Lamat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan itu berkata selaku pengerusi jawatankuasa kabinet negeri bagi minyak dan gas, banyak perkara sudah dibincangkan dan diajukan kepada kerajaan memoptimumkan industri terbabit.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata, Bandar Baharu Limbang dikenali sebagai Putrajaya Mini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
“Projek berkenaan sepatutnya dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) namun mengalami masalah dan akan dilanjutkan dalam RMK11.
“Antara projek dilaksanakan ialah membina kompleks pejabat yang sudah diluluskan dari segi reka bentuk dengan ketinggian sekitar 13 tingkat,” jelasnya.

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY