Keadilan mengkehendaki kebenaran diperlihat dengan segera, untuk tujuan memadamkan kotoran-kotoran yang dihasilkan oleh jejari hitam di laman sosial, yang cuba memberi gambaran nakal atas tragedi berdarah di Miri.
Situasi murung dan sedih ahli keluarga saudara Bill Kayong sewajarnya jangan dilanyak dengan cerita-cerita yang berbaur politik — yang seolah-olah cuba untuk meniup api kemarahan dalam kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan beliau.
Atas sebab ini, saya mengutuk sekeras-kerasnya sebarang usaha yang mengambil kesempatan daripada tragedi tersebut oleh mana-mana pihak, untuk memburukkan pihak yang lain tanpa terlebih dahulu mendengar keputusan siasatan pihak berkuasa.
Saya juga mengutuk sekeras-kerasnya tragedi malang yang menimpa saudara Bill Kayong – dan saya amat berharap pihak yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dengan segera, dan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan hina tersebut.
Saya amat berharap pihak polis akan berusaha keras untuk memastikan insiden seumpama ini tidak akan berlaku lagi di Bumi Kenyalang — yang terkenal dengan toleransi dalam kalangan pelbagai kaum, agama dan pandangan politik.
Akhir kata, saya juga amat berharap rakyat Sarawak tidak terpedaya dengan niat jahat sesetengah pihak yang cuba untuk menangguk di air keruh.
No comments: