'/>

1805 Murid akan sertai kursus Intensif 'Cambridge ICT Starters"

Sebanyak 111 sekolah yang merangkumi 1,805 murid tahun enam di beberapa bahagian luar bandar di negeri ini akan menyertai Kursus Intensif ‘Cambridge ICT Starters’ pada 2016.
Program yang disokong kerajaan negeri dan dilaksanakan badan korporat, iaitu Danawa Education pada tahun ini juga melibatkan 111 guru dan melibatkan 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah berkata, program yang dilancarkan sejak 2001 itu menjadikan Sekolah Kebangsaan Pangiran Mohamad, Oya sebagai perintis.

“Selepas itu, ia dikembangkan ke beberapa sekolah di bahagian tengah negeri ini sebelum ke beberapa daerah lain di seluruh negeri pada masa kini.
“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi program ini melalui Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar sejak dahulu sehingga tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan daripada Danawa Education yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Yii Ying di pejabatnya di sini, semalam.
Tambah Fatimah, usaha Danawa itu membantu kerajaan meningkatkan lagi kemahiran ICT dalam kalangan murid khasnya di luar bandar selain meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris kerana ia menggunakan bahasa terbabit dalam modul digunakan.
“Walaupun ia menumpukan kepada kemahiran tetapi pada masa yang sama ia memberi impak lain bagi memastikan murid luar bandar tidak ketinggalan dari segi penggunaan ICT,” tegasnya.
Sementara itu, Tan pada sidang media memberitahu bahawa sehingga kini, badan korporat itu telah melaksanakan program yang sama di lima PPD dengan 38 sekolah menyertainya serta melibatkan 72 guru.
Hasil daripada itu 927 murid terlibat melalui 24 kursus intensif yang dikendalikan di sekolah luar bandar.
“Objektif kursus yang menggunakan modul dari Cambridge ini adalah menerapkan literasi asas ICT kepada murid, penilaian ICT secara formal dan penting sekali membantu kerajaan memastikan murid tidak ketinggalan.
“Dalam program ini, Danawa menyediakan kemahiran literasi ICT, pelatih, infrastruktur dan sebagainya di sekolah yang dipilih,” katanya.
Bagi tahun ini kata Tan, mereka hanya memerlukan peruntukan di bawah RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan program terbabit.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata kursus intensif berkenaan dikendalikan sekurang-kurangnya tiga atau lima hari bergantung kepada sesebuah sekolah.
“Dalam tempo berkenaan murid-murid akan diberi latihan, ulang kaji dengan mengguna pakai tiga modul sebelum melalui ujian.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah 

No comments:

| Copyright © 2013 MERADONG TODAY